Pelarasan IBR tidak beri impak ketara kepada Petronas Gas - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Pelarasan IBR tidak beri impak ketara kepada Petronas Gas - AmInvestment

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 3 Mac - AmInvestment Bank Research menjangkakan pelarasan Tarif Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) tidak memberi kesan ketara kepada Petronas Gas Bhd.

 

Ini membolehkan firma itu mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan 2022 (FY22) hingga FY24. 

 

"Berdasarkan pengumuman Petronas Gas mengenai pengurangan hasil FY22 sebanyak RM1.2 juta ke atas perniagaan pengangkutan gas, pelarasan ini hanya memberi impak di bawah 1% sahaja kepada kumpulan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Semalam, ia mengumumkan mendapat kelulusan kerajaan bagi Tarif IBR yang diselaraskan bagi tempoh kawal selia pertama (RP1) untuk kemudahan Penggunaan Gas Semenanjung (PGU) di bawah kumpulan syarikat Petronas Gas.

 

Tarif IBR RP1 yang diselaraskan sebanyak RM1.128/Giga Joule (GJ)/hari daripada RM1.129/GJ/ berkuat kuasa mulai 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2022 setelah kelulusan itu diterima melalui Suruhanjaya Tenaga melalui suratnya bertarikh 23 Februari 2022.

 

Pelarasan Tarif IBR PGU itu merupakan proses tahunan di bawah rangka kerja IBR untuk mengambil kira perolehan tambahan yang diterima pada tahun sebelumnya berbanding perolehan yang diluluskan pada permulaan RP1.

 

Dalam perkembangan lain, AmInvestment yakin dengan strategi penggearan optimum pengurusan Petronas Gas yang tidak berubah untuk mencapai nisbah hutang kepada ekuiti setanding dengan 55% syarikat utiliti/infrastruktur lain dalam tempoh 3 tahun akan datang daripada kedudukan penggearan bersihnya hanya 3% pada masa ini.

 

Katanya, walaupun 4 dividen interim yang diisytiharkan setakat ini hanya mencecah 82 sen pada FY21 (penurunan 35% daripada 127 sen pada FY20), tetapi pihak pengurusan menyatakan tiada rancangan untuk pengagihan selanjutnya bagi tahun kewangan lepas setakat ini sementara menunggu pertimbangan lembaga pengarah mengenai pelaburan prospektif.

 

"Namun begitu, strategi pengoptimuman kunci kira-kira pengurusan membayangkan peningkatan dalam dividen khas pada masa hadapan yang berpotensi menggandakan dividen sesaham (DPS) bagi FY22–FY24 kami untuk memperoleh hasil yang mengagumkan sebanyak 10%. 

 

"Tetapi, kami berhati-hati bahawa anggaran ini boleh diselaraskan dengan pelan pelaburan baharu, bergantung pada skala dan struktur pembiayaan," katanya. 

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan penarafan saham Petronas Gas dengan saranan 'beli' dengan nilai wajar pada RM20.20. 

 

Setakat 12.04 tengah hari ini, harga sahamnya susut 2 sen atau 0.12% kepada RM17.30 dengan 459,400 saham diniagakan. - DagangNews.com