Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 10 Jan - Yara Marine Technologies kini membuka pengambilan untuk syarikat pemula untuk menyertai program Yara Marine X bagi memajukan teknologi bersih dan mampan dalam sektor teknologi marin.
Program jangka pendek selama tiga bulan itu akan menawarkan peluang kepada syarikat pemula yang unik untuk membangunkan inovasi mereka menerusi sokongan kemudahan Yara Marine.
Program khas ini disasarkan untuk memudahkan fasa awal bagi syarikat pemula yang memiliki teknologi atau cara kerja mampan dalam bidang teknologi marin dan Program Yara Marine X adalah untuk membantu mereka mencari peluang kerjasama bersama dan pelaburan pada masa hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif Yara Marine Technologies, Thomas Koniordos berkata, kami menggalakkan penglibatan generasi baharu menerusi program itu untuk mengatasi masalah sedia ada dan pihaknya sangat mengalu-alukan pandangan mereka.
"Di Yara Marine, kami komited dalam menghasilkan teknologi hijau dan keperluan pelepasan sifar karbon pada masa akan datang.
"Kami merupakan pasukan yang membawa perubahan dan sentiasa bergerak ke hadapan dalam usaha menyediakan perubahan yang mampan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Program Yara Marine X akan memilih 10 syarikat pemula yang berjaya melengkapkan permohonan mereka dan mereka akan dijemput ke sebuah program yang akan diadakan pada pertengahan Mac 2022 bagi membentangkan model perniagaan mereka kepada ahli panel yang terdiri daripada pakar dalam bidang masing-masing.
Pemenang akan dipilih untuk menyertai program selama dua minggu di lapangan yang memiliki kelengkapan khusus di Oslo atau Gothenburg dan program yang direka khas untuk mereka selama tiga bulan.
Bergantung kepada keperluang syarikat pemula itu sendiri, Yara Marine akan menyediakan panduan dan bimbingan kepada pemenang selain mereka berpeluang untuk bekerjasama dengan pasukan Yara Marine X. - DagangNews.com