JOHOR BAHRU 5 Mac - Prinsip keseimbangan di antara pembangunan fizikal dan landskap, perlu dijadikan prinsip asas secara berterusan kepada peningkatan kualiti penghasilan, kemampanan persekitaran kehidupan dan didasari dengan peningkatan nilai sosial dan ekonomi kepada Keluarga Malaysia, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia juga wajar didasari dengan peningkatan nilai aset negara, sama ada dinilai berdasarkan nilai ketara atau nilai bukan ketara.
Bagi memastikan Keluarga Malaysia mendapat manfaat sepenuhnya kata beliau, program Landskap Negara perlu diteruskan, dan kepentingan landskap dalam pembangunan negara perlu diperkukuhkan.
Menurut beliau, seiring dengan penambahbaikan dasar semasa Kerajaan bagi memenuhi kehendak Keluarga Malaysia dalam mendepani cabaran serta keperluan negara terhadap pematuhan agenda kemampanan dunia; konsep pembangunan fizikal negara juga memerlukan perubahan.
Sebagai satu panduan, Perdana Menteri mencadangkan agar empat perkara ini diberikan kepentingan, dalam hala tuju pembangunan landskap negara pada masa hadapan.
1. Memperkemas sistem jaringan landskap negara.
Adalah wajar, perluasan penyediaan infrastruktur hijau negara diberikan keutamaan, menerusi pendekatan program pembangunan landskap yang menyeluruh.
2. Mendaya upaya potensi dan nilai ekonomi industri landskap.
Seiring dengan perubahan global, sewajarnya kita mendaya upayakan potensi industri landskap negara sebagai satu nilai ekonomi atau sebagai satu sumber pulangan dan ekonomi baharu negara.
3. Melindungi aset landskap Keluarga Malaysia.
Satu kaedah kawalan secara perundangan diwujudkan bagi memastikan aset landskap dapat dilindungi selain pendidikan berterusan secara lebih berkesan kerana kehilangan . aset landskap itu akan membawa kerugian kepada negara dan sukar untuk dikembalikan.
4. Mempertingkat kualiti perkhidmatan landskap negara.
Organisasi landskap yang lengkap di peringkat agensi, negeri dan tempatan adalah penting untuk memastikan perkhidmatan yang terbaik dapat diberikan kepada Keluarga Malaysia.
''Saya mengharapkan agar pembangunan landskap pada masa 25 tahun akan datang menjadi lebih maju dan menawarkan kualiti landskap yang unggul untuk dinikmati oleh generasi mendatang dan segala usaha ini perlu bermula pada hari ini,'' kata Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Hari Landskap Negara 2022 di Taman bandar Ekoflora di sini hari ini. Yang turut hadir ialah Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Perdana Menteri berkata, rakyat menyedari kepentingan landskap dalam persekitaran dan kesejahteraan kehidupan.
Taman–taman dan kawasan rekreasi awam telah dijadikan ruang terapi Keluarga Malaysia, dalam usaha meredakan tekanan hidup yang secara langsung, menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan mental dan fizikal.
Menurutnya, kepentingan landskap sebagai komponen kesejahteraan sosial rakyat dibuktikan dengan peningkatan penggunaan tamantaman awam dan ruang landskap di seluruh Negara seperti Taman Persekutuan Bukit Kiara.
Data menunjukkan jumlah pengunjung ke Taman Persekutuan Bukit Kiara mencatatkan peningkatan sebanyak 287.10% pada 2021 berbanding tahun sebelumnya dan ini membuktikan kepentingan taman menjadi ruang rekreasi utama Keluarga Malaysia semasa pandemik COVID-19.
''Untuk menjadikan Malaysia Negara Taman Terindah tentunya bukan mudah dicapai, namun ia tidak mustahil untuk direalisasikan. Dalam tempoh 25 tahun ini, taman seluas 23,669.15 ekar telah dibangunkan di seluruh negara dan melalui kerjasama semua pihak, kualiti pembangunan landskap yang indah dan damai telah bercambah,'' kata beliau.
Perdana Menteri berkata, menjadi hasrat Kerajaan agar setiap negeri mempunyai taman awam berkonsepkan Taman Persekutuan dan dapat meningkatkan akses rakyat kepada kawasan landskap, yang sekaligus meningkatkan kawasan hijau di kawasan perbandaran yang menjadi faktor utama penyumbang low corbon, urban environmental comfort, yang memberi impak kepada peningkatan kualiti persekitaran dan kehidupan Keluarga Malaysia.
''Kejayaan pencapaian Malaysia Negara Taman Terindah adalah hasil penglibatan semua pemain industri landskap, seperti perunding, kontraktor, pengeluar dan pembekal produk serta pihak pemaju seperti di Taman Bandar Ekoflora ini di mana komitmen pemaju dalam menggunakan pendekatan landskap,'' katanya. - DagangNews.com