Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Jun - Pembayar cukai yang menjalankan perniagaan melibatkan ketegori individu bagi Tahun Taksiran 2020 diberi tambahan masa pengemukaan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) sehingga 31 Julai 2021.
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) berkata, tambahan masa tersebut melibatkan kategori Individu, Individu Pemastautin (Pekerja Berpengetahuan / Berkepakaran), Individu Bukan Pemastautin, Individu Bukan Pemastautin (Pekerja Berpengetahuan), Perkongsian, Pertubuhan, Harta Pusaka dan Keluarga Sekutu Hindu.
"Inisiatif ini diambil selaras dengan usaha kerajaan meringankan beban pembayar cukai setelah mengambil kira kekangan yang dihadapi dalam melaksanakan tanggungjawab untuk mengemukakan BNCP berikutan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘Total Lockdown’.
"Pembayar cukai digalakkan untuk menggunakan sepenuhnya perkhidmatan dalam talian melalui platform ezHASiL bagi tujuan pengemukaan BNCP," jelas LHDN dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan sama, LHDN memberitahu, tambahan masa pembayar cukai bagi kategori syarikat dikekalkan seperti yang dinyatakan pada Program Memfail Borang Nyata bagi tahun 2020 dan 2021.
Kategori berkenaan turut melibatkan Perkongsian Liabiliti Terhad, Unit Amanah/Amanah Harta Tanah, Koperasi, Badan Amanah, Amanah Pelaburan Harta Tanah/Tabung Amanah Harta dan Amanah Perniagaan bagi Tahun Taksiran 2020 dan Tahun Taksiran 2021.
"Program Memfail Borang Nyata ini boleh dicapai dan dimuat turun menerusi www.hasil.gov.my > Borang > Program Memfail Borang Nyata bagi tahun 2020 dan 2021.
"Pembayar cukai juga boleh merujuk Soalan Lazim Berkaitan Urusan Percukaian Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (Frequently Asked Questions- FAQ) berkaitan perkara ini dan lain-lain urusan percukaian," ujar LHDN lagi. - DagangNews.com