KUALA LUMPUR 7 Feb - Pembeli antarabangsa masih tertarik untuk membeli hartanah di Malaysia terutama di Kuala Lumpur, Genting Highlands dan Sabah, menurut IBN Corp.
Syarikat yang ditubuhkan secara rasmi di Malaysia pada 2018 itu memberi tumpuan kepada pembangunan hartanah mewah dan mempunyai pelanggan yang kebanyakannya terdiri daripada pembeli luar negara.
Pembangunan utama IBN Corp termasuk IBN Bukit Bintang, pembangunan mewah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.3 bilion yang akan menjadi bangunan kediaman tertinggi di ibu negara.
Manakala, IBN Highlands City merupakan projek pembangunan bercampur dengan GDV sejumlah RM6.2 bilion yang terletak di Genting Highlands.
Pengarah IBN Corp, Megat Khalil Izzuddin Shah berkata, Malaysia kekal sebagai salah sebuah negara paling ideal untuk bersara berikutan cuaca dan persekitaran kehidupan yang sangat baik.
Jelasnya, minat pelabur antarabangsa terhadap hartanah tertumpu terutamanya di pusat bandar raya Kuala Lumpur dan dalam projek berkaitan pelancongan.
“Sebagai sebuah negara berbilang bahasa dan budaya, Malaysia mempunyai kelebihan besar menyediakan persekitaran yang mudah diadunkan warga asing. Sistem pengangkutan awam mudah diakses, kos perubatan berpatutan dan pendidikan yang murah, namun cemerlang juga merupakan prospek menarik.
"Pelabur juga menyukai pilihan pegangan bebas dan harganya untuk kualiti gaya hidup, berbanding dengan apa yang terdapat di negara asal mereka seperti China, Hong Kong, Singapura dan Jepun. Hasilnya, kita melihat bahawa pasaran hartanah Malaysia sebenarnya kekal agak stabil sepanjang dua tahun ini.
"Sebaik sahaja pelanggan dari luar negara dibenarkan melakukan perjalanan semula, kami percaya akan ada peluang pertumbuhan selanjutnya. Beberapa pelanggan dari Singapura mula kembali ke Malaysia membeli hartanah dan akhirnya pelanggan dari Asia Timur, Eropah dan Amerika mungkin akan kembali pada separuh kedua tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Megat Khalil berkata, disebabkan sekatan perjalanan semasa, pelanggan luar negara tidak dapat mengunjungi tapak projek dan galeri jualan mereka di Malaysia.
Katanya, syarikat menyusun strategi jualan dan pemasaran untuk memberi lebih tumpuan kepada pasaran tempatan, dan melibatkan diri dengan agensi hartanah tempatan terkemuka, IBN Corp menyasarkan untuk meningkatkan nisbah asas pelanggan tempatannya kepada 50%.
“Memandangkan pembangunan utama kami, IBN Highlands City terletak di Genting Highlands, ia adalah projek direka khusus untuk tujuan pelaburan dan agak mencabar mencari pelanggan tempatan yang memenuhi kriteria kami. Bagaimanapun, Genting Highlands adalah destinasi pelancongan terkemuka di dunia dengan lebih daripada 50 tahun sejarahnya.
"Pemandangan menakjubkan, pelbagai pilihan hiburan dan infrastruktur bandarnya menarik 28 juta pelancong setiap tahun. Jadi, hartanah di sini pastinya mempunyai cadangan pelaburan yang menarik walaupun dalam kalangan penduduk tempatan,” katanya.
Beliau berkata, IBN Corp menerima respons menggalakkan daripada pasaran untuk Blok 1 dan 2 dan di sebalik pencapaian itu, syarikat dalam perancangan melancarkan Blok 3 dan 3A pada suku kedua 2022.
“Fasa 1 IBN Highlands City dijangka siap menjelang Disember 2023, manakala IBN Bukit Bintang dijangka siap pada suku kedua 2024. Kami mempunyai beberapa projek baharu menarik lain yang dirancang untuk tahun ini, termasuk taman rekreasi seluas 40 ekar berhampiran IBN Highlands City. Butiran lanjut mengenai perkara ini akan dikongsi dengan pasaran tidak lama lagi,” katanya.
Walaupun baru ditubuhkan pada 2018, IBN Corp mempunyai lebih 10 tahun pengalaman dalam industri pembinaan melalui anak syarikatnya, selain menyiapkan banyak projek pembangunan terkenal di China.
Projek teras syarikat termasuk IBN Highlands City di Genting Highlands, IBN Bukit Bintang, bangunan kediaman tertinggi di Kuala Lumpur, Green City di Serendah, Love-Ocean di Kuantan dan Bentong Eco Park di Bentong. - DagangNews.com