Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 29 Jun - Pemberi diskaun bil elektrik antara lima hingga 40 peratus selama tiga bulan mulai Julai ini dilihat positif kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Penganalisis MIDF Research, Hafriz Hezry berkata, ia dapat mengurangkan risiko kepada TNB memandangkan bil elektrik itu ditanggung oleh kerajaan dalam usaha membantu pengguna yang berdepan kekangan kewangan.
"Keseluruhan jumlah kos bagi inisiatif ini yang dianggarkan berjumlah RM1 bilion, akan ditanggung oleh kerajaan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemberian bantuan tersebut di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).
Baca : Pemulih: Diskaun elektrik, internet 1GB percuma diteruskan
Pemberian diskaun bil itu diberi mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 900 kilowatt jam sebulan.
Ini antaranya, diskaun sebanyak 40% akan diberikan kepada penggunaan elektrik bawah 200 kilowatt jam sebulan dan 15% bagi penggunaan antara 201 hingga 300 kilowatt jam sebulan.
Hafriz berkata, kebiasaannya rebat itu dibiayai oleh penjimatan bahan bakar, yang disalurkan menerusi dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE)
"Oleh itu, ia adalah neutral kepada pendapatan TNB," katanya.
MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' bagi saham TNB dengan harga sasaran tidak berubah pada RM11.80.
Sementara itu, Kementerian Tenaga Dan Sumber Asli akan memperincikan pemberian diskaun bil elektrik secara bersasar kepada pengguna domestik dan bukan domestik di Semenanjung dan Sabah yang diumumkan kerajaan dalam Pemulih.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah menjelaskan seramai 2.9 juta pengguna domestik di Semenanjung yang menggunakan elektrik bulanan sebanyak 200 Kilowatt jam (kWj) akan menikmati diskaun bil elektrik sebanyak 40 peratus. - DagangNews.com