Pembinaan pusat data boleh cecah RM30 bilion sehingga 2025, peluang besar bagi kontraktor tempatan - TA Securities | DagangNews Skip to main content

Pembinaan pusat data boleh cecah RM30 bilion sehingga 2025, peluang besar bagi kontraktor tempatan - TA Securities

Sedenak Tech Park (STeP) mempunyai kapasiti lebih satu gigawatt (GW) - Gambar Lee Eng Keat
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 18 Julai - Nilai pembinaan kasar daripada pengembangan pusat data di Malaysia menjelang 2025 dianggarkan berjumlah RM21.2 bilion hingga RM30.4 billion.

 

TA Securities berkata, pelaburan yang besar ini dijangka memberi manfaat kepada pemain tempatan, khususnya dalam sektor pembinaan dan industri berkaitan yang terlibat dalam pembinaan DC.

 

Menurut firma penyelidikan itu, kapasiti pusat data di Malaysia berada di landasan untuk pengembangan yang ketara seperti dilaporkan EdgeProp dengan unjuran menunjukkan peningkatan daripada 195MW kepada kira-kira 607MW menjelang 2025. 

 

 

"Dengan purata kos pembinaan pusat data di Malaysia antara RM35 juta hingga RM50 juta setiap MW, seperti yang digariskan oleh laporan Research and Market, unjuran pengembangan 607MW diterjemahkan kepada nilai pembinaan kasar kira-kira RM21.2 bilion hingga RM30.4 billion," katanya dalam nota penyelidikan hari ini. 

 

Jelas TA Securities, pertumbuhan pusat data ini didorong oleh pelaburan yang besar dan peningkatan permintaan untuk perkhidmatan lokasi Bersama, menekankan keperluan untuk penyelesaian penyimpanan data yang teguh dan berskala. 

 

"Memandangkan permintaan untuk perkhidmatan digital dan pengkomputeran awan terus meningkat, peningkatan kapasiti DC Malaysia akan menjadi penting untuk memenuhi keperluan ini," ujarnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Rancangan pengembangan berterusan pusat data, RHB Investment kekal saranan 'Beli' YTL Power

 

TA Securities menjangkakan permintaan untuk pusat data baharu di Malaysia akan kekal teguh dalam tempoh lima tahun akan datang disebabkan peningkatan keperluan untuk infrastruktur data yang canggih. 

 

"Tinjauan ini disokong oleh insentif cukai kerajaan yang bertujuan untuk menarik pelaburan asing ke pembangunan pusat data baharu di Lembah Klang, Johor, dan berpotensi di wilayah Sarawak dan Kedah," jelasnya.

 

Menurut TA Secuities, usaha strategik Malaysia adalah penting dalam memacu industri pusat data ke hadapan. 

 

Katanya, negara ini berhasrat untuk menjadi hab serantau bagi pusat data dengan memanfaatkan lokasi strategiknya, kos operasi yang lebih rendah dan sokongan kerajaan.

 

"Inisiatif utama kerajaan menumpukan pada meningkatkan infrastruktur digital, termasuk pelancaran teknologi 5G, mengembangkan ketersambungan gentian dan menyepadukan sumber tenaga boleh diperbaharui untuk menggerakkan DC. 

 

"Langkah-langkah ini direka bentuk untuk mewujudkan persekitaran optimum untuk operasi DC dan menarik syarikat teknologi antarabangsa utama," jelasnya.- DagangNews.com