Pembukaan Kafe Dellamar jalinan kerjasama pertama PUO dengan alumni untuk lahirkan usahawan | DagangNews Skip to main content

Pembukaan Kafe Dellamar jalinan kerjasama pertama PUO dengan alumni untuk lahirkan usahawan

Pembukaan Kafe Dellamar melahirkan usahawan dalam kalangan alumni PUO.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 19 Dis - Usaha untuk melahirkan usahawan dalam kalangan alumni ditonjolkan Politeknik Ungku Omar (PUO) menerusi pembukaan Kafe Dellamar di pusat pengajian tersebut.

 

Kafe yang terletak di Perpustakaan Tan Sri Othman Merican itu ditubuhkan secara perkongsian pintar antara alumni PUO, Izwan Helmi Mohd. Mokhtar bersama Koperasi PUO Ipoh Berhad.

 

Menerusi perkongsian ini, Pusat Keusahawanan PUO turut menawarkan kerjasama serta bantuan dari segi penyediaan kemudahan, khidmat nasihat dan jaringan. 

 

Idea asal penubuhan kafe bermula apabila sekumpulan pelajar Semester 4, Diploma Pengajian Perniagaan yang diketuai Izwan Helmi telah mewakili PUO dalam Program Francais Siswa 2021.

 

PUO
Dr. Shamsuri (lima dari kiri) bersama para pensyarah selepas merasmikan Kafe Dellamar.

 

Kumpulan itu berjaya merangkul tempat ketiga dalam program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bersama Persatuan Francais Malaysia.

 

Jenama Dellamar Brownies & Coffee pertama kali diperkenal melalui pertandingan ini dan membawa kepada tercetusnya penubuhan Kafe Dellamar.

 

Ketika ini, pemilik Kafe Dellamar menjalani proses latihan dan pemantauan oleh Majlis Francais Malaysia selama setahun dalam mendapatkan lesen sebagai francaisor.

 

PUO

 

Pemilihan Perpustakaan Tan Sri Othman Merican sebagai lokasi Kafe Dellamar pula bertepatan dengan konsep kafe yang santai.

 

Pada masa sama ini dapat menjadikan perpustakaan sebagai ruang pembelajaran lebih kondusif serta memberi keselesaan kepada para pelajar. 

 

Terdahulu, majlis perasmian kafe tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah PUO, Dr. Shamsuri Abdullah.- DagangNews.com