Pembukaan sektor pelancongan, kebudayaan dilonggarkan  - Ismail Sabri | DagangNews Skip to main content

Pembukaan sektor pelancongan, kebudayaan dilonggarkan  - Ismail Sabri

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Dis. - Kerajaan bersetuju untuk memberi kelonggaran bagi pembukaan sektor pelancongan dan kebudayaan.

 

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah membentangkan cadangan prosedur operasi standard (SOP) kepada jawatankuasa teknikal semalam.

 

“Seperti yang diumumkan sebelum ini bahawa kerajaan telah bersetuju secara dasar untuk membenarkan pembukaan sektor pelancongan dan kebudayaan dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). 

 

“Walaubagaimanapun, jumlah kehadiran atau pengunjung bagi sektor-sektor yang dilonggarkan ini adalah tertakluk kepada 50% keluasan premis dengan penjarakan fizikal. 

 

"Bagi sektor melibatkan persembahan pentas, ia dibenarkan tetapi tanpa kehadiran penonton. Kelonggaran pembukaan sektor pelancongan dan kebudayaan ini akan berkuat kuasa bermula esok, 19 Disember 2020,” katanya dalam sidang akhbar khas hari ini. 

 

Sektor itu merangkumi (Meetings), Incentive Travel, Conferences & Exhibitions (MICE), Produk – Produk Pelancongan , Pameran Hasil Seni, Budaya & Warisan dan Taman Tema & Pusat Hiburan Keluarga, Indoor Playground.

 

Dalam masa sama, jelas Ismail Sabri, kerajaan juga telah bersetuju secara dasar untuk membenarkan pembukaan sektor sukan dan rekreasi termasuk sukan air secara berfasa. 

 

Semalam, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah membentangkan cadangan SOP kepada jawatankuasa teknikal, ujarnya.

 

Sehubungan itu kerajaan bersetuju untuk membenarkan pembukaan sektor sukan dan rekreasi berkuatkuasa Januari 2021.

 

Dalam sidang akhbar sama, Ismail Sabri turut mengumumkan bahawa PKPB di Kuala Lumpur, Selangor (kecuali Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Sabak Bernam) serta Sabah dilanjutkan sehingga hujung tahun ini. - DagangNews.com