Pembukaan taman tema Genting SkyWorlds pacu peningkatan pengunjung, hasil Genting Malaysia | DagangNews Skip to main content

Pembukaan taman tema Genting SkyWorlds pacu peningkatan pengunjung, hasil Genting Malaysia

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Pembukaan taman tema Genting SkyWorlds pada Februari 2022 menjadi antara penyumbang kepada peningkatan pengunjung dan peningkatan hasil Genting Malaysia Berhad.

 

Kenanga Research berkata, menerusi pembukaan semula sempadan antarabangsa pada 1 April 2022, ia mendorong kumpulan itu kembali mencatatkan keuntungan sebanyak RM73.3 juta mengurangkan kerugian teras 1HFY22 kepada RM30.5 juta berbanding kerugian teras sebanyak RM773.6 juta pada tahun sebelumnya.

 

"Kehadiran pengunjung di pusat peranginan puncak bukit itu melonjak 32% dari suku ke suku kepada 5.4 juta pada 2QFY22, meningkatkan ketibaan pelawat 1HFY22 kepada 9.5 juta.

 

"Walaupun keputusan operasi di United Kingdon dan Mesir agak mendatar secara berurutan namun pendapatan operasi Amerika Utaranya meningkat 58% dari suku ke suku kepada RM122.9 juta namun pendapatan Resort World Bimini merosot sejumlah RM66.8 juta pada aset pada 2QFY22," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Terdahulu, kerugian bersih Genting menyusut kepada RM59.53 juta untuk 2QFY22 daripada RM563.53 juta pada 2QFY21 dengan hasil kumpulan melonjak sebanyak 93.63% kepada RM5.69 bilion daripada RM2.94 bilion.

 

Perkara itu disumbangkan daripada perniagaan riadah dan hospitalitinya, termasuk yang diletakkan di bawah Genting Malaysia.

 

Firma itu berkata, Resorts World Genting akan terus menerima manfaat daripada pembukaan semula sektor ekonomi dan sempadan antarabangsa yang akan membawa lebih banyak kehadiran pelancong asing.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM3.64 berbanding RM3.71," katanya. - DagangNews.com