Pemegang lesen MCMC mesti mohon kebenaran beroperasi  | DagangNews Skip to main content

Pemegang lesen MCMC mesti mohon kebenaran beroperasi 

 

 

KUALA LUMPUR 31 Mei - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan pihaknya diberikan kuasa oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk mengeluarkan surat kebenaran beroperasi kepada para pemegang lesen dari MCMC. 

 

Bagaimanapun, ia hanya dikeluarkan bagi pemegang lesen yang dikategorikan sebagai perkhidmatan perlu di bawah seliaan kementerian tersebut. 

 

Sektor tersebut termasuklah telekomunikasi dan internet, penyiaran serta pos dan kurier bagi tempoh sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) Fasa 1 bermula 1 hingga 14 Jun 2021.

 

Dalam kenyataan, MCMC memaklumkan, permohonan hanya boleh dibuat oleh pemegang lesen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, Akta Perkhidmatan Pos 2012 dan Akta Tandatangan Digital 1997. 

 

"Hanya pemegang lesen di bawah sektor-sektor yang dikenal pasti sebagai perkhidmatan perlu boleh membuat permohonan kebenaran beroperasi dan pergerakan bagi pihak syarikat dan syarikat-syarikat vendor di dalam rantaian perkhidmatan mereka kepada MCMC menerusi e-mel - mco.compliance@mcmc.gov.my," katanya. 

 

Menurut MCMC, kebenaran bersyarat kepada pemegang lesen, memerlukan pemegang lesen bertanggungjawab terhadap rantaian perkhidmatan yang dipohon oleh pihak pemegang lesen. 

 

"Kebenaran bersyarat ini adalah tertakluk kepada sebarang pindaan dan peraturan baharu yang dikeluarkan oleh kerajaan dan akan terbatal sekiranya terdapat sebarang pelanggaran terhadap mana-mana peraturan yang ditetapkan," jelasnya. - DagangNews.com