Pemegang saham UMW disaran terima tawaran MGO pada RM5 sesaham daripada Sime Darby – Kenanga IB | DagangNews Skip to main content

Pemegang saham UMW disaran terima tawaran MGO pada RM5 sesaham daripada Sime Darby – Kenanga IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Jan - Kenanga Investment Bank (Kenanga IB) menyarankan pemegang saham UMW Holdings Bhd untuk menerima tawaran am mandatori (MGO) pada RM5 sesaham daripada Sime Darby Berhad.

 

Dalam pekeliling nasihat bebas (IAC) hari ini, firma penyelidikan itu berkata harga tawaran tersebut tidak adil namun munasabah.

 

Pada 13 Disember 2023, Sime Darby Enterprise Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh tidak langsung Sime Darby selesai mengambil alih 61.18% kepentingan dalam UMW bernilai RM3.57 bilion.

 

Susulan pengambilalihan itu, pegangan saham Sime Darby Enterprise dalam UMW telah meningkat daripada kosong kepada lebih 714.8 juta saham.

 

Syarikat itu juga telah mencadangkan tawaran pengambilalihan mandatori bagi membeli semua baki saham UMW yang belum dimiliki oleh Sime Darby Enterprise dan Sime Darby selepas pengambilalihan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Sime Darby selesai pembelian 61.18% saham UMW Holdings berharga RM3.57 bilion

 

Kenanga IB berkata berdasarkan penilaian jumlah bahagian (SOPV), harga tawaran RM5 itu adalah lebih rendah daripada nilai saham dan mewakili diskaun sebanyak 10.84% hingga 16.90% kepada nilai anggaran antara RM5.608 dan RM6.017 setiap saham kumpulan itu.

 

Harga tawaran itu juga mewakili premium antara 44.8 sen (9.83%) hingga RM1.578 (46.11%), berbanding harga pasaran dagangan terakhir saham UMW setakat 23 Ogos 2023 (iaitu tarikh dagangan terakhir [LTD] sebelum pemeteraian perjanjian pembelian saham [SPA]) dan harga pasaran purata wajaran volum lima hari, satu bulan, tiga bulan, enam bulan, satu tahun dan tiga tahun sehingga dan termasuk SPA LTD.

 

"Kami seterusnya mendapati bahawa harga pasaran saham UMW telah berada dalam trend menghampiri harga tawaran selepas SPA LTD dan sehingga tarikh praktik terkini (LPD),” ulas firma tersebut.

 

Selain itu, Kenanga IB berkata tawaran tersebut munasabah memandangkan Sime Darby tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian UMW.

 

Oleh itu, tiada sebarang langkah akan diambil bagi menangani sebarang kekurangan dalam sebaran pegangan saham awam UMW sekiranya UMW tidak memenuhi keperluan sebaran pegangan saham awam selepas tarikh penutupan, di mana tarikh pertama adalah pada 17 Januari pada pukul 5 petang.

 

Menurut firma itu, UMW turut mengesahkan bahawa ia tidak menerima sebarang tawaran bersaing atau sebarang tawaran alternatif untuk sekuriti atau perniagaan, aset dan liabilitinya.

 

“Sekiranya tiada tawaran bersaing/alternatif, tawaran itu memberi peluang kepada pemegang untuk merealisasikan pelaburan mereka dalam UMW pada harga tawaran.

 

“Memandangkan penawar memegang kira-kira 83.6% saham mengundi dalam UMW pada LPD, sebarang cadangan alternatif tidak akan berjaya melainkan dengan sokongan mereka,” katanya.  - DagangNews.com