Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 17 Mac - Kerajaan bersetuju untuk menambah peruntukan projek berskala kecil bagi tahun ini kepada RM5 bilion daripada RM2.5 bilion di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, antara jenis projek kecil yang akan dikhususkan kepada kontraktor kelas G1 hingga G4 ialah pembaikan infrastruktur dan fasiliti awam yang rosak akibat banjir.
“...Pembaikan jalan, program ameniti sosial, baik pulih perumahan berstrata termasuk penggantian lif di perumahan awam, serta pembinaan gerai di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Kerajaan akan memudahkan tatacara perolehan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek.
“Sebagai contoh, kaedah kerja secara undian bagi pembaikan bencana banjir telah ditingkatkan daripada RM100,000 kepada RM200,000,” katanya ketika mengumumkan program itu secara langsung hari ini.
Baca : PM umum 20 inisiatif di bawah Pemerkasa bernilai RM20 bilion
Tambah beliau, kerja-kerja kecil bagi kontraktor tempatan akan dikhususkan kepada negeri dan daerah berkenaan.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan bersetuju untuk meneruskan Geran Khas Prihatin (GKP 3.0) supaya perniagaan mendapat bantuan untuk beroperasi semula.
Jelas beliau, kerajaan akan terus memberi sokongan untuk memastikan kelangsungan perniagaan, khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.
“Setiap perusahaan mikro dan PKS yang layak akan menerima bantuan one-off sebanyak RM1,000.
“Permohonan bagi GKP 3.0 akan dibuka mulai 1 April bagi PKS yang tidak menerima GKP sebelum ini.
“Geran ini dijangka akan memanfaatkan lebih sejuta usahawan,” ujarnya lagi. - DagangNews.com