ISU penggantian aset lama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menjadi tanggungjawab kerajaan baharu yang dipilih rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Kerajaan baharu itu nanti wajib memberikani komitmen yang tinggi untuk memperkasakan pertahanan negara khususnya keselamatan maritim.
Malaysia merupakan negara maritim yang mana sebahagia kawasan perairannya merupakan deposit kekayaan kerana mengandungi hasil mineral.
Sumber marin yang banyak juga menjadikan perairannya sebagai lubuk emas nelayan asing apabila berani mengambil risiko menceroboh masuk untuk mengaut untung.
Atas sebab itu kenyataan Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd Sany mengingatkan kerajaan supaya meletakkan kepentingan dalam soal pertahanan adalah serius.
Tanpa berselindung, beliau mengakui kekurangan pada aset-aset TLDM yang menyebabkan angkatan laut itu berhadapan kekangan tetapi tetap memikul tanggungjawab diamanahkan.
Komitmen kerajaan ini tegas Mohd. Reza termasuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan negara supaya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dapat bertugas dengan lebih efektif.
Ini termasuk meneruskan projek kapal tempur pesisir (LCS) yang mengalami kelewatan kerana aset tersebut sangat diperlukan TLDM.
Sebagai orang nombor satu TLDM, beliau turut mengakui bimbang dengan kes pencerobohan pihak asing dalam kawasan maritim negara lantas perlu soal keselamatan diberi perhatian.
Kata Mohd Reza, menjadi tanggungjawab kerajaan Persekutuan menanganinya kerana TLDM hanya bertugas berdasarkan peruntukan yang diberi.
Difahamkan, projek LCS masih dalam fasa mobilisasi yang dijangka selesai hujung Disember ini dengan jangkaan pembinaan semula boleh dibuat tahun hadapan.
Ketika ini rundingan dengan pengilang peralatan asal (OEM) dan vendor-vendor yang terlibat berjalan dengan baik termasuklah penglibatan pihak Naval Group Perancis.
TLDM sangat memerlukan aset kombatan ini bagi menyokong strategi pertahanan maritim negara, justeru dengan meneruskan projek berkenaan ia membangunkan keupayaaan pertahanan negara.
Selain LCS, TLDM juga perlu mempercepatkan program pembinaan kapal misi pesisir (LMS) sekurang-kurangnya tiga buah bagi fasa pertama dengan baki lima pada fasa kedua.
Program batch kedua LMS ini berasaskan rekaan kapal korvet dengan sistem persenjataan lebih baik termasuk dilengkapi peluru berpandu antikapal dan pertahanan udara.
Selain kapal perang baharu, TLDM akan menambah aset kapal pemintas atau Fast Interceptor Craf (FIC).
FIC yang diletakkan dalam Skuadron Fast Combat Boat (FCB) berupaya mempertingkatkan keupayaan pengawasan dan pintasan di perairan cetek dan berpulau.
Kementerian Pertahanan tahun lalu telah memutuskan untuk menambah lagi 13 kapal jenis sama bagi dengan kos RM120 juta mengukuhkan lagi kawalan perairan negara.
Ia susulan penerimaan enam FIC peringkat pertama bernilai RM80 juta yang dibina syarikat tempatan, Gading Marine Industry (M) Sdn Bhd (GMI) di limbungan GMI di Lumut Port Industrial Park, Perak .
Justeru, kerajaan baharu nanti khususnya individu yang akan dipilih sebagai Menteri Pertahanan mempunyai tanggungjawab besar untuk menyempurnakan keperluan ATM.
Bakal Menteri Pertahanan baharu nanti tidak boleh lagi sekadar berpuas hati dengan angka-angka umum sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) jika modenisasi ATM tidak diberi perhatian. - DagangNews.com