Pemiutang sokong penstrukturan hutang AirAsia X | DagangNews Skip to main content

Pemiutang sokong penstrukturan hutang AirAsia X


KUALA LUMPUR 12 Nov - Cadangan penstrukturan semula hutang AirAsia X Bhd menerima lebih 90% sokongan daripada pemiutang menerusi undian elektronik, ketika syarikat penerbangan yang dibebani hutang itu cuba untuk kekal beroperasi, kata individu yang rapat dengan perkara terbabit.

 

Tiga kelas pemiutang yang berlainan, termasuk Airbus SE, BOC Aviation Ltd dan Rolls-Royce Holdings Plc, mengundi untuk memihak kepada cadangan penstrukturan semula hutang syarikat penerbangan jarak jauh Malaysia itu, kata individu berkenaan yang meminta tidak dinamakan kerana maklumat adalah sulit.

 

AirAsia X memerlukan sekurang-kurangnya 75% sokongan daripada setiap kelas pemiutang bagi meneruskan rancangannya itu.

 

``Sebagai sebahagian daripada rundingan, Airbus turut bersetuju untuk mengurangkan dengan ketara tempahan pesawat sedia ada AirAsia X, kata sumber itu, tanpa memberikan butiran,'' lapor Bloomberg yang disiarkan oleh Berita Harian.

 

AirAsia X adalah pelanggan terbesar bagi pesawat badan lebar A330neo, dengan 78 unit ditempah, menurut laman web pengeluar pesawat Perancis itu.

 

Ia juga menempah 30 pesawat badan sempit A321neo.

 

AirAsia X, operasi jarak jauh dan sederhana jenama AirAsia, adalah antara beberapa syarikat penerbangan di rantau Asia Pasifik yang terkesan oleh sekatan perjalanan dikenakan bagi membedung pandemik COVID-19.

 

AirAsia bertemu pemiutang untuk mengundi cadangan penstrukturan semula itu semalam.

 

Seorang wakil AirAsia X tidak memberikan maklum balas segera kepada permintaan mendapatkan kenyataan.

 

Jurucakap Airbus berkata, syarikat itu tidak boleh mengulas proses penstrukturan semula yang sedang dijalankan.

 

 

aaa

 

 

AirAsia X memulakan penstukturan semula tahun lalu apabila COVID-19 menjejaskan permintaan perjalanan dan ribuan pesawat tidak beroperasi di seluruh dunia.

 

Dengan persetujuan pemiutang, yang akan menjadikan paras nisbah hutangnya kepada sifar, akan membolehkan AirAsia bermula semula dari bawah.

 

Syarikat penerbangan itu menjangkakan kewangannya akan bertambah baik apabila negara-negara di Asia mula membuka semula sempadan.

 

AirAsia X baru-baru ini menawarkan untuk membayar pemiutang 0.5% daripada hutang berjumlah lebih AS$8 bilion dan menamatkan semua kontrak sedia ada.

 

Ia akan membantu syarikat penerbangan itu mengelak daripada dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia selepas secara rasmi dikategorikan sebagai syarikat bermasalah kewangan.

 

AirAsia X diisytihar sebagai syarikat bermasalah kewangan akhir bulan lalu selepas juruauditnya, Ernst & Young mengeluarkan panduan berhubung keputusan kewangan bagi tempoh 18 bulan berakhir Jun. - DagangNews.com