Pemulihan bekalan tenaga kerja beri impak positif kepada Econpile - Malacca Securities | DagangNews Skip to main content

Pemulihan bekalan tenaga kerja beri impak positif kepada Econpile - Malacca Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Julai - Bekalan tenaga kerja yang semakin baik sejak beberapa bulan kebelakangan ini memberi petanda positif kepada Econpile Holdings Berhad terutama bagi mempercepatkan pelaksanaan projek.

 

Malacca Securities berkata, keadaan itu juga membolehkan kumpulan itu menjalankan projek tambahan secara serentak.

 

"Bagaimanapun, kos bahan binaan yang tinggi mungkin mengekalkan margin keuntungan yang kecil pada masa hadapan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu berjaya meraih projek substruktur di Bukit Jalili untuk tempoh 15 bulan.

 

BACA JUGA: Econpile raih kontrak substruktur bernilai RM43.4 juta bagi dua pangsapuri servis di Bukit Jalil

 

Firma itu berpendapat bahawa kontrak itu mungkin menjana margin kasar satu digit yang tinggi, yang serupa dengan kejayaan projek baru-baru ini untuk pembangunan bertingkat tinggi.

 

Katanya, kumpulan itu juga akan terus memanfaatkan prospek ekonomi yang lebih baik dengan sektor pembinaan mengikuti arah aliran pemulihan, sambil berusaha untuk meluaskan asas pendapatan mereka dalam pasaran serantau, selepas mengukuhkan jejak di Kemboja.

 

Firma itu mengekalkan penarafan 'jual' dengan harga sasaran (TP) 16 sen sesaham.

 

"Risiko kepada cadangan dan harga sasaran kami termasuk kadar penambahan pesanan yang lebih kukuh daripada jangkaan selain harga bahan mentah serta kos tenaga yang lebih rendah akan meningkatkan margin dan sebaliknya.

 

"Kepantasan pelaksanaan projek sedia ada juga boleh menentukan kecekapan kumpulan untuk menggunakan jentera sedia ada untuk pesanan masa hadapan," katanya.- DagangNews.com