KUALA LUMPUR 9 Sept - Pertumbuhan dalam pasaran kewangan Islam utama, negara Teluk, Malaysia dan Indonesia semakin meningkat berikutan lonjakan dalam eksport utama seperti hidrokarbon dan minyak sawit, serta kelonggaran terhadap sekatan pandemik COVID-19.
Malah, Moody's Investors Service mendapati inflasi di negara-negara berkenaan juga kekal sederhana disebabkan subsidi kerajaan dan kenaikan kadar faedah.
Penganalisisnya, Badis Shubailat berkata, pemulihan ekonomi akan memastikan kualiti aset bank Islam stabil di samping meningkatkan keuntungan.
"Oleh itu, bank-bank Islam boleh mengekalkan penampan modal dan mudah tunai yang mencukupi, membolehkan mereka memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan kewangan patuh syariah,” katanya dalam kenyataan bertarikh 8 September seperti dilapor The Edge hari ini.
Di sebalik kelonggaran kawal selia di negara-negara tersebut, Moody's juga mendapati tumpuan bank-bank Islam terhadap pembiayaan runcit akan menyokong kualiti aset kerana sifatnya yang terjamin dan pelbagai, serta taja jamin berhemat bank.
Selain itu, pembiayaan kepada pekerja sektor awam, yang mempunyai pekerjaan stabil semasa wabak COVID-19, merupakan bahagian terbesar pembiayaan runcit di rantau Majlis Kerjasama Teluk.
"Peruntukan penampan yang kukuh dibina ketika tempoh pandemik turut membantu mengurangkan risiko aset.
"Keuntungan bank-bank Islam akan meningkat memandangkan kerugian rizab mereka mencukupi, manakala kecekapan keuntungan daripada pendigitalan akan mengimbangi perbelanjaan teknologi yang lebih tinggi," katanya.
Tambahnya lagi, peningkatkan kadar faedah akan meningkatkan margin terutama di negara Teluk memandangkan mata wang domestik ditambat kepada dolar Amerika Syarikat (AS). - DagangNews.com