Pemulihan ekonomi masih berliku, KDNK 2021 diunjur 3.9% - MARC | DagangNews Skip to main content

Pemulihan ekonomi masih berliku, KDNK 2021 diunjur 3.9% - MARC

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Ekonomi Malaysia belum mencapai tahap sebelum tercetusnya pandemik COVID-19 meskipun mencatat pertumbuhan 16.1% pada suku kedua ini, menurut Malaysian Rating Corp Bhd (MARC).

 

Walaupun ia merupakan pertumbuhan suku tahunan tertinggi yang pernah dicatatkan setakat ini, namun prestasi itu tidak mengimbangi penguncupan mendalam bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Pada suku kedua 2020, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup -17.1%, dan merupakan pertumbuhan terendah yang direkodkan sejak suku tahun keempat 1998, -11.2%.

 

Dengan membuat perbandingan pada suku kedua 2019, MARC berkata, pertumbuhan ekonomi menyusut 3.9%, menunjukkan ia belum kembali ke tahap output sebelum pandemik. 

 

Malah, katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) turut menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK tahun ini kepada 3 hingga 4% berbanding 6 hingga 7.5% sebelum ini.

 

"Semakan semula ini mencerminkan pemulihan ekonomi Malaysia masih jauh dan berliku. Unjuran ini juga menyamai anggaran KDNK terbaharu kami bagi 2021 iaitu 3.9%," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pertumbuhan kukuh pada awal suku kedua hilang momentum apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) kembali dilaksanakan akhir Mei.

 

Langkah ini menyebabkan kebanyakan industri dan komponen perbelanjaan mengalami penguncupan. 

 

Secara keseluruhan, ekonomi berkembang 7.1% pada separuh pertama 2021 berbanding penguncupan 8.4% bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Agensi penarafan itu menjangkakan ekonomi akan mencatat sedikit penguncupan pada suku ketiga memandangkan ia masih terkesan dengan pelaksanaan PKP dan ketiadaan kesan asas.

 

Katanya, kekangan kapasiti operasi syarikat menyaksikan indeks pengurus pembelian (PMI) pembuatan juga berada dalam zon menguncup iaitu 40.1 pada Julai 2021. 

 

Pada masa sama, persekitaran operasi masih mencabar memandangkan gangguan bekalan terjejas akan terus memberi kesan kepada pelaburan perniagaan manakala sentimen pengguna masih berada di bawah paras nilai ambang, yang berpunca daripada kadar pengangguran tinggi. 

 

"Oleh itu, pembukaan semula ekonomi lebih awal dapat menyelamatkan kemerosotan berganda bagi ekonomi suku ketiga ini," katanya.

 

MARC juga berpendapat prospek ekonomi jangka pendek kekal lemah di tengah-tengah sekatan pergerakan dan juga tindak balas dasar yang tidak menentu.

 

"Varian baharu COVID-19 yang tercetus sama ada di peringkat domestik atau global akan menyebabkan pandemik ini berpanjangan dan mengganggu sebarang usaha pemulihan ekonomi," jelasnya.

 

Mengenai vaksinasi pula, ia berkata, masih terdapat 2.7 juta penduduk atau 11.9% daripada populasi dewasa yang belum mendaftar untuk mendapatkan vaksin.

 

"Lebih membimbangkan, mereka bukan sahaja berisiko tinggi menyebarkan wabak ini tetapi boleh menjejaskan Pelan Pemulihan Negara beberapa bulan akan datang," katanya. 

 

Agensi itu juga melihat inflasi akan menurun di bawah 3% pada suku ketiga dan menjangkakan kadar dasar semalaman (OPR) kekal pada 1.75% sepanjang tahun ini. 

 

Dari segi defisit fiskal pula, kemungkinan ia boleh meningkat sekurang-kurangnya 6.5% daripada KDNK tahun ini dan paras siling hutang mungkin dinaikkan kepada 65% daripada 60% ketika ini disebabkan ruang dasar dan sumber fiskal kerajaan yang terhad, jelasnya. - DagangNews.com