Pemulihan ekonomi pasti tapi risiko masih ada - MIDF | DagangNews Skip to main content

Pemulihan ekonomi pasti tapi risiko masih ada - MIDF

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 April - Walaupun pertumbuhan ekonomi pada awal tahun 2021 dikhuatiri lebih perlahan, namun prospek keseluruhannya menggambarkan pemulihan berdasarkan trend Indeks Pelopor (IP). 

 

Dalam jangkaan MIDF Research, IP yang menokok pada kadar lebih pantas, iaitu 8% lonjakan tahun ke tahun (y-o-y) bagi Januari 2021 membayangkan prospek ekonomi jangka pendek negara tetap stabil.

 

Namun, firma penyelidikan itu memberi amaran bahawa cabaran dan risiko masih ada terutama wujudnya potensi kemunculan gelombang baharu jangkitan COVID-19 yang akan merencatkan kekuatan pemulihan ekonomi negara. 

 

“Sekatan kawalan pergerakan yang dilonggarkan, vaksinasi COVID-19 yang sedang berjalan dan pakej rangsangan tambahan meningkatkan harapan untuk pemulihan lanjut dalam ekonomi pada masa hadapan.

 

“Namun, kami masih lagi bimbang sekiranya pandemik COVID-19 yang sedang menular kekal sebagai risiko penurunan utama kepada pertumbuhan ekonomi.Terdapat potensi risiko bagi gelombang baharu jangkitan COVID-19, yang menyebabkan beberapa negara Eropah melanjutkan perintah berkurung dan mengekalkan sekatan ketat ke atas ekonomi.

 

“Sementara itu, perkembangan vaksinasi di peringkat tempatan dan antarabangsa boleh jadi lebih perlahan daripada jangkaan yang mungkin direncatkan oleh isu bekalan dan kekurangan kepercayaan terhadap vaksin,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya bertarikh semalam.

 

Di sebalik kebimbangan terhadap risiko itu, MIDF masih mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi pada kadar 5.4% bagi tahun ini daripada penguncupan 5.6% yang dicatatkan bagi tahun 2020.

 

MIDF tidak menolak kemungkinan aktiviti ekonomi akan lemah pada tempoh Januari hingga Februari 2021, disebabkan oleh pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

 

“Berikutan kejayaan membendung dan menurunkan kes jangkitan COVID-19 yang baharu dan aktif, sekatan ke atas aktiviti ekonomi secara beransur-ansur dilonggarkan.

 

“Oleh itu, kami menjangkakan pertumbuhan ekonomi akan bermula pada suku kedua 2021 (2Q21) dan seterusnya, di mana akan disokong oleh rangsangan fiskal tambahan dari kerajaan, dasar monetari yang akomodatif dan sentimen yang bertambah baik daripada program vaksinasi,” tambah MIDF.

 

Katanya lagi, sekatan pergerakan yang dilonggarkan memupuk pemulihan perbelanjaan pengguna domestik dan aktiviti perniagaan, seterusnya menyokong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara keseluruhannya.

 

Eksport Malaysia pula dijangka terus disokong oleh permintaan luaran yang kian berkembang, terutamanya dari rakan perdagangan utama, ramal MIDF. - DagangNews.com