Pemulihan keuntungan Malakoff dijangka berterusan pada FY24 disokong pemulihan margin bahan api, harga arang batu | DagangNews Skip to main content

Pemulihan keuntungan Malakoff dijangka berterusan pada FY24 disokong pemulihan margin bahan api, harga arang batu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

 

KUALA LUMPUR 29 Ogos - RHB Investment menjangkakan pemulihan keuntungan yang dicatatkan Malakoff Corporation Bhd pada 1HFY24 akan berterusan pada FY24 didorong margin bahan api yang kembali normal serta penstabilan harga arang batu.

 

Selain itu, katanya, ia akan dibantu oleh perjanjian pembelian kuasa (PPA) untuk Loji Kuasa Gas Prai 350MW telah dilanjutkan selama setahun, sehingga Ogos 2025.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bagi jangka panjang, perlu ada lebih banyak loji yang menggunakan gas baharu untuk dibangunkan selaras dengan unjuran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), di mana gas akan terus menjadi sumber bahan api yang dominan untuk beban kuasa asas. 

 

"Malakoff kini mempunyai kapasiti thermal 5.3GW dan menyasarkan untuk mencapai 10GW menjelang 2031. Oleh itu, kami menjangkakan ia akan menambah kapasiti gas baharu dalam jangka sederhana.

 

"Sementara itu, sumbangan pendapatan hasil daripada penyediaan perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan kepada tiga loji janakuasa (1,500MW) di Bangladesh dijangka kecil, buat masa ini manakala Alam Flora terus menyumbang pendapatan stabil sebanyak RM45 juta pada 1HFY24," katanya dalam satu nota kjian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Malakoff kembali catat untung bersih RM93.6 juta pada 2QFY24 didorong peningkatan sumbangan Loji Janakuasa Tanjung Bin

 

Terdahulu, lonjakan keuntungan kumpulan itu dipacu sumbangan lebih baik daripada Loji Janakuasa Tanjung Bin dan Tanjung Bin Energy Sdn Bhd.

 

Ia berikutan purata wajaran kos arang batu yang lebih rendah berikutan penstabilan harga global, permintaan tenaga yang lebih tinggi dan keuntungan daripada pampasan bagi pengambilan tanah secara wajib.

 

Hasil kumpulan bagi suku itu bagaimanapun menyusut sebanyak 2.4% kepada RM2.31 bilion berbanding RM2.36 bilion pada 2QFY23. 

 

Memandangkan Malakoff merupakan pengeluar tenaga bebas yang berpengalaman, RHB Investment percaya mereka berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan tenaga dalam jangka masa panjang.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.11 sesaham.- DagangNews.com