KUALA LUMPUR 16 Ogos - Saham Astro Malaysia Holdings Bhd. masih dilihat sebagai pelaburan yang menarik di sebalik penurunan sokongan harga sahamnya baru-baru ini daripada hasil dividen dan prospek jangka panjang kumpulan yang bertambah baik.
Dalam nota kajian hari ini, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, Netflix dan Astro menyaksikan titik perubahan dalam perniagaan apabila Netflix mengalami kemerosotan pelanggan manakala Astro berdepan kemerosotan pendapatan langganan dan pengiklanan hingga mengakibatkan harga saham kedua-dua syarikat susut dengan ketara.
Menurut firma itu, Netflix kehilangan langganan pada suku pertama dan kedua masing-masing sebanyak 200,000 dan 970,000 yang merupakan titik perubahan kepada kumpulan, mencetuskan kebimbangan mengenai pertumbuhan yang tidak stabil dan mungkin permulaan aliran menurun, mengakibatkan harga sahamnya menurun sehingga 61.5% setakat ini.
"Ini menyamai kes Astro kerana apabila kedua-dua hasil langganan dan pengiklanannya menyaksikan penurunan tahun ke tahun dalam keputusan suku ketiga bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2018, saham Astro mula menunjukkan aliran harga yang menurun sama seperti yang dialami Netflix pada masa ini.
"Bagaimanapun, kami percaya terdapat beberapa perkembangan penting yang akan membantu mengubah keadaan untuk Astro," katanya.
Antara faktor yang menyebabkan penurunan hasil langganan Astro adalah disebabkan terutamanya penggunaan secara meluas kotak TV haram yang membolehkan pengguna menstrim kandungan berbayar secara percuma.
Astro juga berdepan persaingan daripada Unifi TV (bersama perkhidmatan internet dan telefon) dan juga perkhidmatan penstriman yang lain di samping pendapatan isirumah yang lebih rendah dan sekatan operasi akibat pandemik COVID-19.
Sehubungan itu, beberapa langkah yang diambil dilihat mampu menangani situasi tersebut, antaranya, Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 akan membantu mengurangkan bilangan kotak TV haram yang digunakan dan dijual kerana ia membolehkan Astro mengambil tindakan undang-undang ke atas penjual dan pengedar kandungannya yang tidak sah.
Selain itu, Astro mampu menangani peningkatan persaingan daripada Unifi TV serta perkhidmatan penstriman lain dengan melancarkan perkhidmatan jalur lebar gentiannya sendiri dan menjadi agregator perkhidmatan penstriman.
Dengan pelancaran perkhidmatan jalur lebarnya sendiri, Astro juga mampu menyediakan penawaran nilai yang sama seperti Telekom Malaysia Bhd. (TM) kepada pelanggannya dengan kemudahan satu bil dan penjimatan kos tambahan daripada pakej.
Sebaliknya, daripada bersaing secara langsung dengan perkhidmatan penstriman untuk tontonan, Astro telah menggerakkan strateginya untuk menjadi pengagregat perkhidmatan penstriman dan memberi lebih nilai dalam kumpulan kandungannya.
HLIB berkata, peralihan Malaysia kepada fasa endemik dan jaminan pekerjaan yang lebih kukuh, dapat membantu menangani penurunan langganan bagi isi rumah dan komersial.
"Dengan pelbagai ketidaktentuan industri yang dihadapi syarikat pengiklanan digital seperti Facebook dan Google, serta jurang pulangan pelaburan (ROI) yang mengecil pada perbelanjaan iklan berbanding Astro, kami percaya bahawa lebih ramai pengiklan akan mula kembali kepada saluran pengiklanan tradisional seperti TV dan radio, terutamanya dengan pelancaran pengiklanan bersasar Astro," jelasnya.
Menurut firma itu, pemulihan dalam hasil langganan dan pengiklanan akan menandakan titik perubahan yang boleh memberikan peluang penarafan semula untuk penilaian Astro.
"Sukar untuk menentukan masa bagi titik perubahan ini, tetapi kami percaya bahawa pemulihan ekonomi daripada wabak, peraturan yang diluluskan baru-baru ini dan inisiatif Astro sendiri semuanya mendorong kepada pemulihan ini," katanya.
Oleh itu, secara keseluruhan, HLIB mengekalkan saranan 'beli' terhadap Astro dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.34 sesaham.
Setakat 9.51 pagi ini, harga sahamnya kekal tidak berubah pada 86 sen dengan 55,300 saham diniagakan. - DagangNews.com