Pemulihan pantas kewangan Sunway REIT masih suram - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Pemulihan pantas kewangan Sunway REIT masih suram - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Perolehan segmen runcit Sunway Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) dijangka kekal suram ekoran bantuan penyewaan yang perlu diberikan kepada penyewa selain prospek industri yang mencabar. 

 

Penganalisis di MIDF Research, Jessica Low Jze Tieng menjangkakan segmen perniagaan hotel Sunway REIT juga dijangka terus diheret turun oleh pandemik COVID-19 susulan penutupan sempadan negara. 

 

Ekoran itu, firma tersebut menyemak turun unjuran perolehan Sunway REIT bagi tahun kewangan 2021 (FY21) dan FY22, masing-masing sebanyak 11.3% dan 3.7% yang mengambil kira sumbangan lebih lemah daripada segmen runcit dan hotel.

 

“Berikutan daripada semak turun dalam unjuran perolehan, harga sasaran (TP) bagi Sunway REIT diturunkan kepada RM1.40 daripada RM1.45. Penilaian kami berdasarkan model Diskaun Dividen. 

 

“Kami melihat prospek Sunway REIT neutral memandangkan kami menjangkakan prospek bagi segmen runcit dan hotelnya yang mencabar, tetapi sebahagiannya dikurangkan oleh prospek segmen pejabat dan perkhidmatan yang lebih baik. 

 

“Oleh itu, kami mengekalkan saranan ‘neutral’ ke atas Sunway REIT,” jelas Jze Tieng dalam satu nota kajian.

 

Bagi suku keempat FY21 (4QFY21), Sunway REIT mencatatkan pendapatan bersih yang lebih rendah kepada RM33.5 juta, terutamanya disebabkan oleh sumbangan lebih rendah daripada segmen hotel.

 

Bagi prestasi sepanjang tahun kewangan semasa, Sunway REIT mencatatkan pendapatan bersih 44.6% lebih rendah kepada RM138.2 juta berbanding tempoh sama pada tahun lalu, terutamanya disebabkan oleh sumbangan yang lebih rendah daripada segmen runcit dan hotel.

 

Sementara itu, penganalisis di Kenanga Research, Marie Vaz melihat prospek bagi suku ketiga tahun 2021 (3Q21) dijangka mencabar susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sepanjang bulan Julai dan Ogos, di mana hampir semua pusat beli-belah dan hotel ditutup, kecuali perkhidmatan perlu. 

 

Beliau mengunjurkan prestasi kewangan Sunway REIT melemah dalam jangka masa pendek bagi suku tahun seterusnya, tetapi kadar vaksinasi diramalkan berjalan pantas dengan ekonomi mungkin dibuka semula tepat pada waktunya. 

 

“Segmen hospitaliti dijangka kekal mencabar, menyaksikan 25% penghunian, sementara segmen pejabat dan perindustrian dijangka stabil buat masa ini. 

 

“Kami percaya keuntungan bersih utama bagi FY22 kekal kukuh buat masa ini, setelah mengambil kira ekonomi yang masih berada di landasan pemulihan,” ujar beliau.

 

Kenanga mengekalkan penarafan ‘market perform’ ke atas Sunway REIT dengan TP tidak berubah pada kadar RM1.35 sesaham. - DagangNews.com