Pemulihan sektor automotif terjejas akibat gangguan bekalan cip semikonduktor | DagangNews Skip to main content

Pemulihan sektor automotif terjejas akibat gangguan bekalan cip semikonduktor

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 April - Kenanga Research menjangkakan pemulihan pengeluaran kenderaan adalah terhad untuk sesetengah model memandangkan sektor automotif sedang bergelut dengan bekalan cip semikonduktor secara berterusan.

 

Firma itu berkata, pengeluar kenderaan memberikan keutamaan penggunaan cip semikonduktor kepada model kenderaan yang paling menguntungkan seperti trak size penuh dan kenderaan utiliti lasak (SUV) dan kenderaan mewah.

 

"Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sedang berusaha mendapatkan lanjutan pengecualian SST sehingga akhir 2022 kerana kekurangan cip semasa mengehadkan keupayaan pembuat kereta untuk memaksimumkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan pelanggan yang tertunggak selama enam bulan bagi model tertentu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk Mac 2022 adalah sebanyak 73,222 unit dan ia adalah hasil jualan agresif pengeluar kenderaan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022.

 

Ia disokong oleh bulan bekerja yang panjang dan tahap pengeluaran lebih tinggi untuk memenuhi pesanan sebelum tamat tempoh pengecualian cukai jualan menjelang akhir Jun 2022.

 

"Jualan untuk April 2022 dijangka lebih rendah berbanding Mac 2022 akibat kekurangan bekalan cip dan bulan yang lebih pendek akibat sambutan Hari Raya Aidilfitri dan kelewatan penghantaraan kenderaan CBU.

 

"Kebanyakan jualan sudah dipenuhi oleh kebanyakan syarikat sebelum tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor automotif dan menyasarkan TIV sebanyak 600,000 unit (+18%) dan ia adalah selari dengan sasaran MAA. - DagangNews.com