Penarafan semula lebih baik ke atas Bank Islam - Firma | DagangNews Skip to main content

Penarafan semula lebih baik ke atas Bank Islam - Firma

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com


 

KUALA LUMPUR 18 Mei - Penstrukturan semula BIMB Holdings Bhd. membolehkan penarafan semula yang lebih baik  ke atas Bank Islam Malaysia Bhd. apabila langkah penyenaraiannya lengkap Ogos ini. 

 

Ini kerana menurut Maybank Investment Bank (IB) Research, penilaian Bank Islam yang diberikan sebelum ini pada pendapatnya adalah di bawah nilai. 

 

Bank Islam, katanya, menjana pulangan bersih ke atas aset dan ekuiti (ROAE) sebanyak 11.4% bagi tahun kewangan 2019 dan 9.4% bagi 2020, iaitu lebih tinggi berbanding purata 10.2% dan 7% bagi bank konvensional yang lain. 

 

"Kami mengunjurkan pulangan ke atas ekuiti (ROE) bagi tahun kewangan 2021 adalah 10.3% untuk Bank Islam berbanding bank-bank lain pada purata 8.6%. 

 

"Nisbah tahap 1 (CET1) Bank Islam amat selesa pada 14.7% setakat akhir 2020, lebih tinggi daripada BIMB iaitu 13% dan setanding dengan purata industri pada 14.8%," katanya dalam nota kajian. 

 

 

Baca : Bank Islam bakal muncul satu-satunya institusi perbankan Islam penuh disenaraikan

 

 

BIMB memiliki keseluruhan pegangan dalam Bank Islam dan memegang 59.5% kepentingan dalam Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (STMB).

 

Apabila langkah penstrukturan itu lengkap, Bank Islam akan mengambil alih status penyenaraian BIMB, yang menyaksikan ia muncul sebagai institusi kewangan Islam penuh pertama disenaraikan di Bursa Malaysia.

 

Pada 13 April lalu, BIMB menerbitkan 222.22 juta saham baharu pada harga RM3.58 sesaham, yang berjaya mengumpul modal kira-kira berjumlah RM795.6 juta. 

 

Dalam taklimat kepada media 21 April lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, apabila disenaraikan kelak, Bank Islam menyasarkan untuk mencapai saiz aset mencecah RM100 bilion dalam tempoh 5 tahun berbanding RM75 bilion ketika ini. 

 

Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham BIMB memandangkan firma itu melihat perkembangan positif dalam langkah penstrukturan tersebut.

 

Malah, proses itu juga hampir lengkap selepas selesai melaksanakan penempatan saham persendirian, tambahnya. 

 

Di bawah penstrukturan itu, pemegang saham sedia ada BIMB akan memiliki pegangan dalam Bank Islam dan juga STMB.

 

"Berdasarkan pengiraan kami, setiap saham BIMB akan menerima satu saham Bank Islam dan 0.24 saham STMB," kata firma itu.

 

Menurutnya, penstrukturan itu bukan sahaja membolehkan Bank Islam mengambil alih status penyenaraian selepas selesai proses ini, tetapi memperkukuhkan metrik kewangan bank dan meletakkannya pada tahap lebih kukuh untuk menghadapi persaingan yang semakin sengit dalam ruang perbankan Islam.

 

Bagaimanapun, Maybank IB berkata, sebagai salah satu bank Islam terbesar di Malaysia dari segi saiz aset, sebarang kelembapan ekonomi di negara ini akan memberi kesan kepada  prestasi Bank Islam.

 

"Bagi STMB pula, pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan penggunaan domestik akan mengurangkan permintaan bagi takaful am dan keluarga," jelasnya. - DagangNews.com