Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 15 April - Program Perolehan Impak Sosial Kerajaan (PPISK) yang dijangka memberi impak kepada sektor sosial seperti diumumkan dalam Belanjawan 2021, kini dibuka untuk pendaftaran menerusi portal mymagic.my/ppisk.
Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) yang berperanan memperkasa syarikat pemula dan inovasi sosial telah diberi tanggungjawab untuk mengenal pasti pemohon layak bagi menyertai PPISK.
Menurut agensi itu, perolehan sosial adalah elemen penting pelaburan impak sosial yang diterajui kerajaan.
“PPISK akan membolehkan perusahaan sosial (Social Enterprise) untuk mendaftar dengan Kementerian Kewangan dan seterusnya menyertai perolehan kerajaan dengan nilai keseluruhan sehingga RM20 juta.
“PPISK akan menjadi inisiatif pertama seumpamanya yang memanfaatkan kuasa membeli kerajaan untuk mewujudkan impak sosial dan alam sekitar yang positif.
“Melalui program ini, perusahaan sosial yang kebanyakannya terdiri daripada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan dapat terus dibangunkan melalui peluang pembangunan perniagaan dan pelaburan,” jelas MaGIC dalam sebuah kenyataan hari ini.
Lima Kementerian telah dikenalpasti untuk pelaksanaan projek perintis selama 12 bulan iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian Pendidikan (KPM).
Langkah kerajaan itu akan mendorong pertumbuhan perusahaan sosial yang berterusan di Malaysia dengan menyokong peranan mereka mewujudkan peluang pekerjaan melalui inovasi sosial.
Dalam pada itu, PPISK akan menyediakan persaingan yang adil dan saksama kepada perusahaan sosial, memberi peluang kepada mereka untuk meningkatkan inisiatif penyelesaian berimpak sosial, seterusnya mendorong pembangunan ekosistem inovasi sosial.
“Bagi tujuan promosi, produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh perusahaan social, MaGIC akan menyenaraikan semua pemohon PPISK yang diluluskan di laman web Buy For Impact [www.buyforimpact.co].
“Maklumat ini membolehkan individu dan organisasi yang berminat untuk menyokong perusahaan sosial membeli barangan dan perkhidmatan mereka,” tambah agensi tersebut.
Antara inisiatif penyelesaian yang ditawarkan oleh perusahaan sosial adalah seperti pembekalan bahan binaan alternatif dengan harga berpatutan untuk perumahan luar bandar, program literasi untuk belia yang kurang berkemampuan dan produk cenderahati oleh masyarakat orang asli. – DagangNews.com