Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Nov - Berjaya Food Bhd dijangka mencatatkan pendapatan yang lebih kukuh pada suku akan datang apabila trafik pengguna ke cawangan pulih sejajar dengan penarikan secara beransur-ansur sekatan pergerakan.
CGS-CIMB berkata, walaupun terjejas oleh sekatan 'dine-in' dan perjalanan, keuntungan bersih terasnya yang berjumlah RM11 juta bagi suku pertama masih di dalam julat jangkaan yang dibuat.
Katanya, jualan suku pertama 2022 Berjaya Food kekal di atas paras pra-pandemik, didorong terutamanya oleh pertumbuhan jualan yang kukuh dua digit dan jumlah outlet yang lebih tinggi untuk Starbucks Malaysia.
"Kami mengulangi panggilan 'Tambah' kami pada saham Berjaya Food, dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM3.25," katanya dalam nota kajian di sini hari ini.
Berjaya Food mencatatkan hasil lebih tinggi sebanyak RM187.7 juta (+3.9% tahun ke tahun dan suku ke suku) pada suku pertama tahun kewangn 2022.
"Kami menganggarkan bahawa walaupun sebahagian besar cawangan Starbucks berada dalam wilayah tengah yang berada di bawah sekatan pergerakan yang paling ketat pada suku tersebut, kumpulan masih dapat mengekalkan jualan melalui saluran penghantaran dan pandu lalu, sebagai tambahan kepada saluran lain inovasi produk, contohnya minuman berasaskan tumbuhan baharu, item menu bawa pulang eksklusif dan program pengumpulan barangan berjenama.
"Dalam suku pertama 2022, operasi Starbucks Malaysianya yang merangkumi sekitar 89% daripada jualan berjaya mencatatkan SSSG dua digit positif.
"Operasi Kenny Roger's Roastersnya sebaliknya menyaksikan SSSG negatif pada suku tersebut terutamanya disebabkan oleh sekatan pergerakan," katanya.
Tambah CGS-CIMB, pihaknya menjangkakan kumpulan itu akan mempercepatkan pembesaran kedai Starbucksnya kepada 10-15 dalam suku kedua tahun kewangan 2022 kerana kerja-kerja kini pembinaan telah dibenarkan.
"Kami percaya kumpulan itu berada di landasan yang betul untuk memenuhi sasarannya iaitu 35-40 pembukaan cawangan Starbucks baharu pada tahun kewangan penuh 2022,"katanya. - DagangNews.Com