Pendapatan bersih hartanah Hektar REIT meningkat 34% kepada RM13.7 juta pada suku kedua | DagangNews Skip to main content

Pendapatan bersih hartanah Hektar REIT meningkat 34% kepada RM13.7 juta pada suku kedua

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Hektar Real Estate Investment Trust (REIT) merekodkan pendapatan berjumlah RM29.37 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022, meningkat 14% berbanding RM25.71 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Hasil yang lebih baik itu disumbangkan terutamanya peningkatan pendapatan sewa dan tempat letak kereta serta penghunian hotel yang lebih tinggi, menurutnya dalam kenyataan hari ini.

 

Pengurus REIT itu, Hektar Asset Management Sdn. Bhd. mencatatkan pendapatan bersih hartanah sebanyak RM13.7 juta pada suku berkenaan, meningkat 34.3% berbanding RM10.2 juta pada suku kedua 2021 manakala pendapatan bersih yang direalisasikan ialah RM6.57 juta, peningkatan yang ketara sebanyak 317.3% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan seunit meningkat dengan ketara sebanyak 311.8% kepada 1.40 sen pada suku berkenaan berbanding suku yang sama pada tahun sebelumnya. 

 

Berdasarkan prestasi kewangan bagi suku semasa, Hektar REIT telah mengisytiharkan pengagihan pendapatan interim sebanyak 2.70 sen seunit, berjumlah RM12.72 juta, akan dibayar pada 26 September 2022.

 

Prestasi Hektar REIT untuk enam bulan berakhir 30 Jun 2022 menunjukkan peningkatan hasil sebanyak 11.4% kepada RM58.49 juta berbanding RM52.49 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan hartanah bersih sebanyak RM30.33 juta menunjukkan peningkatan 24.8% berbanding RM24.3 juta pada separuh pertama 2021, manakala pendapatan bersih yang direalisasikan meningkat 151% kepada RM20.32 juta berbanding RM8.1 juta.

 

 

Johari Shukri Jamil
Johari Shukri Jamil 

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Hektar Asset Management, Johari Shukri Jamil berkata, portfolio pusat beli-belah di bawah Hektar REIT mengalami peningkatan 58% tahun ke tahun dalam jumlah pengunjung dan bilangan kereta 50% lebih tinggi berbanding tahun lalu seiring dengan peningkatan besar dalam prestasi jualan penyewa. 

 

Katanya, di sebalik prestasi yang bertambah baik, kumpulan kekal berhati-hati untuk suku akan datang memandangkan tekanan inflasi dan prospek ekonomi global yang tidak menentu mungkin menjejaskan aktiviti ekonomi domestik. 

 

"Sebagai sebahagian daripada langkah kemampanan perniagaan kami untuk memastikan pusat membeli-belah kami mempunyai penghunian yang stabil, kami akan terus memantau dan menyemak strategi penyewaan," katanya. - DagangNews.com