Pendapatan IGB REIT diunjur tidak terjejas walaupun berdepan prospek ekonomi mencabar, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Pendapatan IGB REIT diunjur tidak terjejas walaupun berdepan prospek ekonomi mencabar, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Jan - Kenanga Research mengunjurkan pendapatan IGB Real Estate Investment Trust (REIT) tidak akan terjejas walaupun berdepan prospek ekonomi yang mencabar selain persekitaran inflasi yang tinggi.

 

Katanya, IGB REIT berada pada kedudukan yang baik untuk mengekalkan corak pendapatan yang stabil.

 

Firma penyelidikan itu berkata, perbelanjaan pengguna akan dipengaruhi oleh peningkatan kos sara hidup, manakala peruncit mungkin bergelut dengan mengekalkan keuntungan di tengah-tengah peningkatan perbelanjaan buruh dan utiliti.

 

"Pendapatan IGB REIT tidak akan terjejas kerana kedua-dua pusat beli-belahnya iaitu The Gardens dan Mid Valley Magamall menyasarkan golongan berpendapatan sederhana dan tinggi.

 

"Penambahbaikan ruang penyewa utama sebelum ini boleh siap sepenuhnya tidak lama lagi dan akan memacu lebih banyak kehadiran pelanggan dan penyewa," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

IGB-REIT mencatatkan jumlah hasil RM158.5 juta, untung bersih RM89.7 juta, serta pendapatan hartanah bersih (NPI) RM115.2 juta untuk suku keempat tahun kewangan 2023 berakhir 31 Disember 2023.

 

Kenaikan 6.6% dan 9.1% suku ke suku bagi hasil dan NPI, masing-masing, disebabkan oleh pendapatan sewa yang lebih tinggi pada suku tersebut.

 

Tidak seperti lonjakan dalam hasil dan NPI, untung bersih IGB-REIT turun 37.7% berbanding RM143.9 juta daripada suku yang sama pada 2022, disebabkan perubahan nilai saksama bersih RM60 juta untuk hartanah pelaburan pada suku yang sama pada 2022.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran (TP) RM1.68 sesaham selepas mengambil kira portfolio aset yang kukuh dan kadar penghunian yang tinggi. - DagangNews.com