Pendapatan MKH Berhad diunjur terus terjejas akibat kelemahan segmen perladangan, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Pendapatan MKH Berhad diunjur terus terjejas akibat kelemahan segmen perladangan, kata CGS-CIMB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 4 Dis - Pendapatan MKH Berhad diunjur terus terjejas oleh kelemahan segmen perladangan yang mengheret pertumbuhan positif segmen hartanahnya.

 

CGS-CIMB Securities mengurangkan unjuran pendapatan sesahahm (EPS) kumpulan itu bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2024 dan 2025 (FY24/25) masing-masing sebanyak 11.8% dan 9.6% selepas mengemas kini pendapatan FY23, dan mengambil kira kos pengeluaran yang lebih tinggi untuk segmen perladangannya serta memperkenalkan anggaran FY26.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘pegang’ kerana positif daripada segmen hartanah dikurangkan oleh perniagaan perladangan, dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM1.44 sesaham daripada RM1.31.

 

Menurut firma itu, keuntungan bersih kumpulan pada FY23 sebanyak RM70.4 juta hanya menyumbang 88% daripada unjuran disebabkan oleh sumbangan pendapatan segmen perladangan lebih rendah daripada jangkaan.

 

“Jualan hartanah baharu dalam FY23 lebih tinggi pada RM513 juta (berbanding RM493 juta pada FY22), didorong oleh TR2 Residence (RM229 juta), Akina @ Kajang 2 (RM99 juta) dan Mirai Residences (RM54 juta).

 

“Sehingga September 2023, jualan belum dibil kumpulan berjumlah RM841 jut (kira-kira 0.8 kali nisbah liputan),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sementara itu, segmen perladangan menyaksikan peningkatan kos dan harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih rendah.

 

Firma itu berkata segmen perladangan mencatat keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah sebanyak RM37.5 juta pada FY23 (berbanding RM76.6 juta pada FY22) disebabkan penurunan jualan isirung sawit, purata harga jualan (ASP) yang lebih rendah sebanyak RM1,589 setiap tan mentrik (MT) (berbanding RM2,627 pada FY22) dan kos pengeluaran yang lebih tinggi.

 

Bagaimanapun, impak itu telah dikurangkan dengan peningkatan jumlah jualan MSM sebanyak 92,607 MT dengan ASP RM3,348/MT (berbanding 71,000 MT dan ASP RM3,847/MT pada FY22).

 

Setakat pukul 10:15 pagi ini, saham MKH menokok 1 sen atau 0.7% kepada RM1.42 dengan permodalan pasaran bernilai RM832.9 juta.  - DagangNews.com