Pendapatan Pavilion REIT akan terus dipacu perkembangan kadar penyewaan pusat beli-belah Pavilion KL | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Pavilion REIT akan terus dipacu perkembangan kadar penyewaan pusat beli-belah Pavilion KL

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Julai - MIDF Research meramalkan pendapatan Pavilion REIT akan terus dipacu perkembangan kadar penyewaaan di pusat beli-belah Pavilion KL.

 

Katannya, sumbangan pendapatan daripada Pavilion Bukit Jalil juga akan terus meningkat didorong pengembalian sewa yang positif dan kadar penghunian yang lebih baik.

 

"Keadaan itu akan membantu meningkatkan pendapatan kumpulan itu dalam masa terdekat.

 

"Bagaimanapun, kami tidak membuat sebarang perubahan unjuran pendapatan bagi FY24, FY25 dan FY26," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Pavilion REIT pada 2QFY24 meningkat kepada RM67.1 juta, disumbangkan pendapatan hartanah baharu

 

Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan bersih teras kumpulan itu bagi 2QFY24 adalah lebih rendah pada RM67.1 juta kesan fakor bermusim.

 

Perolehan pada suku sebelumnya meningkat didorong bilangan pembeli yang lebih tinggi hasil daripada membeli-belah Tahun Baharu Cina.

 

Katanya, pada asas tahunan, pendapatan bersih teras 2QFY24 lebih tinggi, menjadikan pendapatan terkumpul dalam 1HFY24 lebih tinggi pada RM150.3 juta.

 

"Pertumbuhan pendapatan dua angka itu disokong oleh sumbangan pendapatan daripada Pavilion Bukit Jalil yang diperoleh pada 1 Jun 2023.

 

"Sementara itu, prestasi Pavilion KL dan Intermark Mall mencatatkan pendapatan bersih hartanah yang lebih tinggi pada 1HFY24 berikutan jumlah pembeli yang lebih tinggi.

 

"Bagaimanapun, perbelanjaan utiliti dan perbelanjaan penyelenggaraan lebih tinggi telah menyederhanakan sebahagian pertumbuhan pendapatan pada 1HFY24," katanya.

 

MIDF Research menyukai  Pavilion REIT kerana prospek pendapatan kekal kukuh dengan sumbangan berterusan daripada pusat beli-belah Pavilion KL yang disokong oleh kehadiran pelancong yang lebih tinggi.

 

Katanya, selain itu, prestasi Pavilion Bukit Jalil yang lebih baik seharusnya memberikan peningkatan kepada pertumbuhan pendapatan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.60 sesaham," katanya. - DagangNews.com