Pendapatan Pavilion REIT diunjur kekal berdaya tahan didorong hasil positif pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Pavilion REIT diunjur kekal berdaya tahan didorong hasil positif pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur - Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Okt - Pendapatan Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT) diunjur kekal berdaya tahan dengan sebahagian besarnya disokong oleh hasil positif daripada pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur serta sumbangan tambahan daripada Pavilion Bukit Jalil.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, Pavilion Bukit Jalil dijangka mencapai pendapatan hartanah bersih (NPI) tahunan yang disasarkan sebanyak RM146 juta menjelang Jun 2025.

 

"Kami menjangkakan pengembangan pendapatan daripada Pavilion Bukit Jalil didorong oleh pengembalian sewa yang positif pada FY24 dengan 68% daripada ruang yang dipajak akan membuat pembaharuan sewa," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, NPI Pavilion REIT bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23) meningkat 34.5% kepada RM121.35 juta berbanding RM90.22 juta setahun sebelumnya, berikutan kemasukan pendapatan daripada Pavilion Bukit Jalil yang baharu diperolehi.

 

Hasil suku tahun meningkat 43.4% kepada RM199.21 juta berbanding RM138.94 juta, terutamanya disebabkan oleh pendapatan daripada Pavilion Bukit Jalil, yang diperoleh pada Jun 2023.

 

Ia juga mengalami kadar penghunian yang lebih tinggi dan sewa hasil daripada pusat beli-belah sedia ada, serta peningkatan pendapatan daripada acara pengiklanan dan pemasaran.

 

Bagi sembilan bulan terkumpul (9MFY23), NPI REIT meningkat 21.4% kepada RM324.47 juta daripada RM267.32 juta setahun lalu. Hasil bagi tempoh tersebut adalah 25.7% lebih tinggi kepada RM515.59 juta berbanding RM410.22 juta.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bagaimanapun, pendapatan telah diimbangi sebahagiannya oleh perbelanjaan operasi yang lebih tinggi, iaitu perbelanjaan utiliti dan kos faedah yang lebih tinggi daripada pinjaman tambahan yang dikeluarkan untuk membiayai pemerolehan aset.

 

Mereka menyemak turun unjuran keuntungan bersih FY23/FY24/FY25 sebanyak -6%/-7%/-7%, selepas menyemak semula andaian  pinjaman selain kos faedah yang lebih tinggi.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) MYR 1.41 sesaham," katanya. - DagangNews.com