Pendapatan pengendali Starbucks Malaysia diramal terus menyusut pada FY25 kesan boikot berpanjangan, kata CIMB Securities | DagangNews Skip to main content

Pendapatan pengendali Starbucks Malaysia diramal terus menyusut pada FY25 kesan boikot berpanjangan, kata CIMB Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Pendapatan operator Starbucks Malaysia, Berjaya Food Bhd diramal terus menyusut pada FY25 disebabkan kesan boikot berpanjangan dan persaingan yang semakin sengit, kata CIMB Securities.

 

Katanya, walaupun terdapat rancangan untuk membuka sekitar tiga ke enam cawangan Starbucks baharu, Sembilan cawangan Paris Baguette di Malaysia dan lima kedai di pasaran Nordic namun pendapatan kumpulan dijangka terus menyusut.

 

"Kami menjangkakan hasil Berjaya Food menurun pada FY25 disebabkan pemulihan jualan yang lembap daripada kesan boikot berpanjangan serta peningkatan persaingan daripada rangkaian perniagaan kopi baharu dan sedia ada dalam pasaran," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, pada 4QFY24, kerugian bersih teras kumpulan mengecil kepada kira-kira RM100,000 daripada RM31.1 juta pada 3QFY24, tidak termasuk RM38.1 juta dalam item luar biasa seperti rosot nilai dan penurunan nilai disebabkan oleh penyatuan stor.

 

Prestasi itu melepasi jangkaan, dengan kerugian bersih teras FY24 sebanyak RM38.5 juta lebih rendah daripada yang dijangkakan disebabkan margin yang lebih baik dan kempen promosi yang lebih sedikit.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Berjaya Food catat kerugian bersih RM91.5 juta pada FY24 disebabkan boikot rakyat Malaysia terhadap Starbuck

 

Hasil 4QFY24 kumpulan itu susut kepada RM130 juta, disebabkan penutupan kedai Starbucks akibat boikot.

 

Kumpulan itu menutup tiga kedai Starbucks secara kekal dan menggantung sementara 25 kedai yang berprestasi rendah pada 4QFY24, yang membawa kepada penurunan hasil suku tahunan sebanyak 5.8%. 

 

Hasil FY24 susut 34.6% kepada RM730.3 juta disebabkan boikot bermula pada 2QFY24. Sehingga 4QFY24, Berjaya Food mengendalikan 408 Starbucks dan 60 kedai Kenny Rogers Roasters di Malaysia.

 

CIMB Securities berkata, prestasi semasa kumpulan itu melepasi jangkaan, dengan kerugian bersih teras FY24 sebanyak RM38.5 juta lebih rendah daripada yang dijangkakan disebabkan margin yang lebih baik dan kempen promosi yang lebih sedikit. 

 

Firma penyelidikan itu, menurunkan anggaran kerugian bersih teras FY25 sebanyak 34% kepada RM17 juta untuk kumpulan itu, sambil menaikkan anggaran keuntungan bersih teras FY26 sebanyak 24% kepada RM19 juta, berikutan pendapatan yang lebih baik daripada jangkaan bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2024 (4QFY24) dan margin yang lebih baik daripada penyatuan kedai.

 

Sementara itu, CIMB Securities melaraskan harga sasaran (TP) untuk Berjaya Food kepada 38 sen, mencerminkan diskaun disebabkan pendapatan tidak menentu di tengah-tengah boikot yang berterusan.

 

"Dengan penilaian semasa pada 2.2 kali P/BV, kami percaya pasaran mempunyai lebih daripada harga dalam prospek pendapatannya pada masa ini. Kami mengekalkan saranan 'kurang' terhadap kumpulan itu," katanya.- DagangNews.com