Pendapatan semasa MISC seperti dijangka, unjuran FY21 dikekalkan RM1.87 bilion | DagangNews Skip to main content

Pendapatan semasa MISC seperti dijangka, unjuran FY21 dikekalkan RM1.87 bilion

MISC Bhd (MISC)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Unjuran perolehan syarikat MISC Bhd (MISC) bagi tahun kewangan 2021 (FY21) dikekalkan sebanyak RM1.87 bilion.

 

MIDF Research berkata, pengekalan itu dibuat dengan menilai kepada prestasi dan hasil kewangan semasa yang diraih syarikat berkenaan.

 

"Oleh kerana perolehan semasa adalah dalam jangkaan kami, kami mengekalkan unjuran perolehan bagi tahun kewangan 2021 dan 2022 sebanyak RM1.87 bilion dan RM2.07 bilion.

 

"Disebabkan unjuran perolehan yang tidak berubah, harga sasaran sesaham (TP) juga kekal pada RM7.81," jelas MIDF Research.

 

Bagi laporan kewangan semasa, MISC merekodkan lonjakan keuntungan bersih sebanyak 79.9% kepada RM538.8 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2021.

 

Jumlah tersebut meningkat berbanding RM299.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Baca: Untung bersih Q2 MISC melonjak kepada RM538.8 juta

 

MISC turut melaporkan perolehan sebanyak RM968.6 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2021 (1HFY21).

 

Prestasi tersebut adalah 51.9% dan 52.4% mengikut jangkaan yang dibuat oleh MIDF Research.

 

Sementara itu, CGS-CIMB Research yang turut mengulas berkaitan laporan kewangan semasa MISC memberitahu, pihaknya menjangkakan keuntungan bersih separuh kedua 2021 adalah sebanyak AS$221 juta iaitu 14% lebih rendah daripada separuh pertama 2021 (AS$256 juta).

 

Berbanding separuh kedua tahun lalu, keuntungan bersih MISC pada separuh kedua tahun ini dijangka meningkat sebanyak 21%.

 

Jangkaan itu diletakkan dengan menilai kepada keuntungan yang lebih tinggi daripada pembinaan FPSO Mero3 serta peningkatan pendapatan LNG.

 

Selain itu, syarikat berkenaan juga bakal menerima sumbangan penuh daripada keenam-enam VLEC yang dihantar kepada MISC antara Oktober 2020 dan April 2021 serta kerugian AET yang lebih rendah berbanding separuh kedua 2020.

 

"Kami meningkatkan harga sasaran sesaham (TP) MISC kepada RM8.09 dengan anggapan bahawa dolar AS akan lebih kukuh pada kadar RM4.15 berbanding RM4 pada sebelumnya," jelas CGS-CIMB Research. - DagangNews.com