Pendapatan Sentral REIT diunjur bertambah baik didorong kadar penghunian lebih tinggi – RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Sentral REIT diunjur bertambah baik didorong kadar penghunian lebih tinggi – RHB Investment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 24 Jan - RHB Investment menaikkan taraf saranan Sentral Real Estate Investment Trusts (REIT) kepada ‘beli’ memandangkan ia menjangkakan pendapatan bertambah baik didorong kadar penghunian yang lebih tinggi.

 

Firma penyelidikan itu menyemak semula saranan tersebut daripada ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi pada 91 sen seunit berbanding 87 sen sebelum ini.

 

Menurut firma itu, kadar penghunian di portfolio hartanah Sentral REIT meningkat kepada 89% pada separuh pertama 2023 berbanding 77% dalam separuh kedua 2022 selepas mendapat penyewa baharu untuk Bangunan Sentral 4 (SB4) dan pengambilalihan Menara CelcomDigi.

 

“Kami berpendapat bahawa risiko negatif pada kadar penghunian adalah terhad. Pada tahun kewangan 2024 (FY24), hanya 13% daripada jumlah kawasan boleh disewa bersih (NLA) bersedia untuk diperbaharui, dan ini terdiri daripada aset REIT yang lebih kukuh, contohnya Platinum Sentral dan Menara Shell.

 

“Bagaimanapun, kami menjangkakan kadar turun naik harga sewa akan kekal mendatar di tengah-tengah pasaran pejabat yang mencabar,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Dalam keputusan suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) Sentral REIT yang diumumkan semalam, ia mencatat keuntungan bersih bernilai RM19.2 juta, menjadikan pendapatan tahun penuh FY23 kepada RM72.7 juta, menyusut 1.2% tahun ke tahun (YoY), iaitu sejajar dengan jangkaan RHB Investment dan Street masing-masing pada 103% dan 100%.

 

RHB Investment berkata, hasil pada suku tersebut meningkat 22% YoY, terutamanya disebabkan oleh pendapatan yang lebih tinggi daripada Platinum Sentral, Menara Shell, serta Menara CelcomDigi yang baharu diambil alih.

 

Oleh itu, firma tersebut meningkatkan pendapatan Sentral REIT bagi FY24-25 sebanyak 11% selepas memasukkan sumbangan daripada pengambilalihan Menara CelcomDigi dan memperkenalkan pendapatan FY26 berjumlah RM91 juta.

 

Firma itu menambah, hasil dividen Sentral REIT sebanyak 9% adalah yang tertinggi dalam kalangan REIT Malaysia di bawah liputannya.

 

Mengulas tentang nisbah hutang kepada ekuiti pula, firma penyelidikan itu berkata ia berada pada paras 45% berikutan pengambilalihan Menara CelcomDigi, iaitu menghampiri 50% had nisbah yang dikenakan oleh Suruhanjaya Sekuriti.

 

“Kami berpendapat bahawa sebarang peluang pelupusan untuk Wisma Sentral Inai, yang hampir dua tahun ditinggalkan kosong, akan menjadi pemangkin penarafan semula yang kukuh untuk REIT berkenaan.

 

“Hartanah itu bernilai RM154 juta (6% daripada nilai aset Sentral REIT), yang jika digunakan untuk membayar balik pinjaman, boleh mengurangkan nisbah hutang kepada ekuiti REIT tersebut kepada 41%,” ulasnya.

 

Pada pukul 9:44 pagi ini, unit Sentral REIT kekal pada 79.5 sen dengan permodalan pasarannya berjumlah RM950.4 juta.  - DagangNews.com