Pendapatan syarikat telekomunikasi dijangka berkurang dengan Cukai Makmur : Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Pendapatan syarikat telekomunikasi dijangka berkurang dengan Cukai Makmur : Kenanga Research

 

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 1 Nov - Pendapatan sesaham bagi Digi dan Maxis untuk tahun kewangan 2022 dijangka berkurang 10% disebabkan pelaksanaan Cukai Makmur yang dijangka dikuatkuasakan bermula 1 April depan.

 

Kenanga Investment Research berkata, selain itu, pendapatan sesaham bagi Telekom Malaysia (TM) juga dijangka turun 9% manakala 5% bagi Axiata.

 

"Untuk itu kami mengekalkan panggilan 'Neutral' bagi sektor telekomunikasi.

 

"Kami terus memihak kepada TM kerana kami berpendapat mereka akan terus mendapat manfaat daripada infrastruktur dan aset yang diperlukan untuk 5G dan penggunaan gentian fiber yang lebih meluas," katanya dalam nota kajiannya di sini hari ini.

 

Pada pembentangan Bajet 2022 Jumaat lalu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kerajaan bercadang melaksanakan Cukai Makmur bermula 1 April depan.

 

Di bawah pelaksanaan ini, keuntungan sebelum cukai (PTP) melebihi RM100 juta akan dikenakan cukai pada kadar yang lebih tinggi sebanyak 33% berbanding 24% pada masa ini. 

 

Selain itu, Tengku Zafrul turut mengumumkan kerjasama kerajaan dengan syarikat telekomunikasi terpilih untuk membekalkan tablet kepada semua pelajar B40 di institusi pengajian tinggi dengan peruntukkan sebanyak  RM450 juta, dan syarikat telekomunikasi akan memberikan RM65 juta. 

 

Kata Tengku Zafrul, selain itu, kerajaan akan menyediakan RM700 juta untuk meneruskan usaha penyambungan digital di 47 kawasan perindustrian dan 630 sekolah, terutamanya di kawasan luar bandar. 

 

"Kerajaan juga akan memperuntukkan RM30 juta untuk menyediakan kemudahan internet di 40 PPR sedia ada dan menjangkakan pada 2022, perkhidmatan 5G meliputi 36% kawasan berkepadatan tinggi di Johor, Selangor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak," katanya. -DagangNews.Com