Pendapatan teras Datasonic pada 1HFY24 penuhi jangkaan RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Pendapatan teras Datasonic pada 1HFY24 penuhi jangkaan RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Dis - Pendapatan teras Datasonic Group Berhad pada 1HFY24 sebanyak RM36.7 juta berjaya memenuhi jangkaan RHB Investment diorong oleh permintaan berterusan daripada pesanan berakitan MyKad dan pasport.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan pendapatan FY24F akan disokong oleh sumbangan daripada projek i-Kad baharu tetapi mungkin terdapat jurang dalam sumbangan hasil daripada MyKad sementara menunggu lanjutan kontrak rasmi.

 

"Kami berharap kumpulan itu akan menerima lanjutan kontrak bagi bekalan kad mentah dan bahan habis pakai (yang tamat tempoh pada Mei) dan penyelesaian berkaitan pasport (tamat pada November 2023), memandangkan rekod prestasi cemerlang kumpulan itu yang kukuh dan penghantaran dokumen keselamatan negara yang kritikal misi tepat pada masanya.

 

"Kami memahami bahawa pada masa ini perancangan perniagaan bahan mentah adalah seperti biasa bagi memastikan tiada gangguan bekalan penghantaran awam.

 

"Sementara itu, pelbagai perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan sistem autogate juga berkemungkinan meningkatkan pendapatan kumpulan pada FY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Datasonic catat pendapatan RM172 juta pada 1HFY24, paras tertinggi baharu

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan pada tempoh dalam tinjauan meningkat kepada RM37.2 juta berbanding RM36.9 juta setahun lalu.

 

Datasonic mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 0.6 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen sesaham bagi tempoh kewangan semasa kepada 1.2 sen.

 

RHB Investment berkata, buku pesanan tertunggak Datasonic dianggarkan sebanyak RM234 juta (daripada RM307 juta pada 1QFY24).

 

Pengurusan sedang giat meneruskan pelbagai pembaharuan kontrak, termasuk pelbagai kontrak penyelenggaraan dan pembekalan sistem autogate.

 

"Tambahan pula, penyelesaian dan perkhidmatan elektronik lain yang berkaitan dengan pekerja asing dan kontrak sistem pengurusan identiti di bawah memorandum perjanjian dengan Kementerian Perancangan Bandar, Perumahan dan Pembangunan Wilayah Republik Guinea juga merupakan antara projek lain yang sedang berjalan," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 57 sen sesaham.- DagangNews.com