KUALA LUMPUR 10 Mac - Kerajaan akan memperkenalkan pendekatan baharu yang lebih menyeluruh dan komprehensif bagi menangani isu miskin tegar, selewat-lewatnya akhir April ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata kerajaan meletakkan komitmen yang amat tinggi untuk menyelesaikan isu berkenaan, justeru pendekatan baharu itu akan mengambil kira segala input daripada pemimpin dan penduduk setempat.
Beliau berkata, untuk peringkat awal pelaksanaan pendekatan baharu itu, kerajaan akan memilih 80 lokaliti di seluruh negara.
"Kalau dulu, pendekatan kita tidak diselaras, kita work in silo. Kali ini (pendekatan) lebih holistik dan komprehensif.
"EPU (Unit Perancangan Ekonomi) dan ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) sudah memulakan proses ini dengan melakukan sesi libat urus dengan semua kerajaan negeri dan dua hari lalu, kita sudah maklumkan kepada semua menteri besar dan ketua menteri mengenai inisiatif ini," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) mengenai langkah serta strategi kerajaan dalam menangani isu miskin tegar di seluruh negara, khususnya di Sabah, pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, menjawab soalan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) mengenai Sabah yang jauh ketinggalan dalam pembangunan infrastruktur serta kadar kemiskinan dan kos hidup yang tinggi, Mustapa berkata, terdapat usaha khusus memperkukuhkan pembangunan sosioekonomi di Sabah dan Sarawak dirangka dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Beliau berkata, bagi mempercepatkan pembangunan di negeri yang kurang membangun, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada peruntukan pembangunan asas Kerajaan Persekutuan diagihkan kepada negeri berkenaan, termasuk Sabah, menurut Bernama.
"Kerajaan juga menubuhkan Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi bagi membincangkan dengan terperinci dan menyelesaikan isu serta permasalahan yang dihadapi Sabah dan Sarawak berhubung pembangunan sosioekonomi," katanya. - DagangNews.com