Pendekatan baru diperlukan untuk tangani gejala merokok- pakar | DagangNews Skip to main content

Pendekatan baru diperlukan untuk tangani gejala merokok- pakar

Gambar hiasan oleh Uitbundig

 

 

KUALA LUMPUR 4 Okt - Penurunan kadar merokok dalam kalangan populasi dewasa di Malaysia adalah selari dengan trend yang berlaku di negara-negara maju, terutamanya United Kingdom (UK), Belanda, Jepun dan Amerika Syarikat (AS).  

 

Perkembangan positif ini menunjukkan kejayaan kempen-kempen anti merokok yang giat dijalankan oleh kerajaan dan badan-badan antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia, WHO.

 

Namun menurut pakar kesihatan, Profesor David Khayat, mantan Presiden Institut Kanser Nasional Perancis dalam satu webinar sains serantau baru-baru ini, pendekatan baharu diperlukan untuk memastikan kadar merokok terus turun dan kadar kematian akibat merokok juga turun.

 

Menurut beliau, tabiat merokok masih menjadi punca utama penyakit kanser di dunia hari ini dan antara penyumbang utama kepada kematian dalam kalangan dewasa. Kanser disebabkan oleh pendedahan kepada karsinogen yang memudaratkan.

 

“Ada strategi yang di panggil strategi mengurangkan kemudaratan yang memberi prioriti kepada pengurangan pendedahan kepada karsinogen, ini bukan pendekatan baharu, tetapi dengan peningkatan teknologi baharu ini boleh dicapai,” katanya .

 

Tambah beliau lagi, inovasi teknologi yang tidak membakar tembakau merupakan sinar harapan untuk mengurangkan bahaya tabiat merokok dan mempunyai impak besar dalam menurunkan kadar kematian akibat penyakit tidak berjangkit dan kanser.

 

 

david khayat
Profesor David Khayat

 

 

Menurut Tomoko Iida, Pengarah Serantau Pendekatan Saintifik PMI, “produk berasaskan sains, dan bebas asap rokok mempunyai peranan untuk membantu perokok untuk beralih daripada meneruskan tabiat merokok.”

 

‘’Dengan undang-undang yang menyokong ke arah ini dan sokongan pergerakan sivil, kita boleh bergerak ke arah masa hadapan bebas asap rokok dengan lebih cepat daripada hanya bergantung kepada pendekatan tradisional sahaja,’’ ujarnya.

 

Jepun merupakan antara negara yang telah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan dalam usaha menurunkan kadar merokok populasi dewasa di negara itu.

 

Pada tahun 2005, sebanyak 49% lelaki dan 14% wanita Jepun merokok, namun kadar itu telah menurun dengan ketara dalam masa dekad dan kini hanya kira-kira 18% populasi Jepun merokok.

 

“Peralihan kepada teknologi bebas asap rokok seperti produk tembakau yang dipanaskan dan sistem perundangan yang tidak menggalakkan tabiat merokok merupakan penyumbang utama kepada kejayaan Jepun dan ini boleh dijadikan contoh kepada negara-negara di rantau ini,” kata Takashi Sugihara, Pengarah Strategi Pertumbuhan, Frost and Sullivan Asia Pasifik di webinar yang sama.   – DagangNews.com