Penduduk bekerja meningkat 0.6% pada Julai | DagangNews Skip to main content

Penduduk bekerja meningkat 0.6% pada Julai

Penduduk bekerja

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 11 Sept. - Bilangan penduduk bekerja terus mencatatkan peningkatan 0.6% bulan ke bulan setelah merekodkan pertumbuhan 0.7% pada Jun 2020.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam laporannya berkata, bilangan penduduk bekerja meningkat kepada 15.07 juta orang.

"Nisbah guna tenaga kepada penduduk meningkat kepada 64.9% pada Julai 2020.

"Kebanyakan sektor ekonomi mencatatkan peningkatan penduduk bekerja sejak Jun 2020 setelah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Peningkatan ketara adalah dalam sektor perkhidmatan terutamanya aktiviti penginapan, makanan dan minuman serta sektor pengangkutan dan penyimpanan," jelas DOSM dalam laporan di laman web rasminya hari ini.

Tambah DOSM, selain peningkatan ketara dalam beberapa sektor itu, terdapat juga peningkatan kecil jumlah penduduk bekerja dalam aktiviti seni, hiburan dan rekreasi.

Jumlah bilangan bekerja sendiri pula menurun seramai 36,900 orang bulan ke bulan kepada 2.38 juta.

Kumpulan bekerja sendiri itu menunjukkan penurunan sejak April 2020 yang terdiri daripada penerima gaji harian di pasar tani, pasar malam, gerai makanan, freelancers serta pekebun kecil yang paling terjejas akibat COVID-19.

Dalam laporan yang sama, DOSM turut menyatakan kadar pengangguran turus menurun kepada 4.7% pada Julai 2020 dengan pengurangan penganggur seramai 28,200 orang kepada 745,100 orang.

Baca: Kadar pengangguran Julai 2020 turun kepada 4.7%

"Jumlah tenaga buruh meningkat 55,000 orang kepada 15.82 juta orang berbanding Jun 2020. Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) pada Julai 2020 kekal pada 68.1%.

"Manakala bilangan luar tenaga buruh meningkat sedikit iaitu 0.02% dengan pertambahan 1,300 orang kepada 7.4 juta orang," tambah DOSM lagi. - DagangNews.com