Penerimaan bayaran akhir, WCT Holdings boleh terlibat dengan projek lebih besar | DagangNews Skip to main content

Penerimaan bayaran akhir, WCT Holdings boleh terlibat dengan projek lebih besar

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Julai - Bayaran akhir berjumlah RM828.2 juta yang diterima WCT Holdings Bhd. membolehkan kumpulan membida projek-projek mega infrastruktur akan datang.

 

Ini kerana dengan kedudukan kewangan yang kukuh itu jika bayaran tersebut diterima sepenuhnya, boleh meningkatkan penyertaannya dalam projek kerajaan yang mana ketika ini lebih banyak menawarkan inisiatif pembiayaan swasta. 

 

Penganalisis MIDF Research, Khoo Zhen Ye berkata, WCT Holdings masih kekal pesaing dan penerima manfaat utama bagi beberapa projek infrastruktur yang dijalankan semula oleh kerajaan.

 

Antaranya, termasuklah projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3), Pan Borneo Highway, projek menaik taraf Kemudahan Infrastruktur Landasan Keretapi Berkembar Elektrik di Lembah Kelang (KVDT2) dan projek laluan rel pantai timur (ECRL) seperti diumumkan dalam Belanjawan 2021.

 

Selain itu, projek kereta api laju antara Kuala Lumpur-Johor Bahru juga berpotensi meningkatkan nilai projek kumpulan pada masa akan datang. 

 

"Kami kekal optimis terhadap prospek pendapatan kumpulan, dengan adanya nilai projek yang kukuh dan operasi kerja bergerak semula menggambarkan pemulihan bagi pendapatannya untuk suku pertama 2021 di sebalik perintah kawalan pergerakan (PKP).

 

"Prospek jangka panjang kumpulan juga disokong oleh nilai projek kira-kira RM5.7 bilion yang akan mengukuhkan pendapatannya bagi tempoh 4 tahun akan datang," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

 

Baca : Pembatalan kontrak Dubai: WCT terima RM828 juta bayaran akhir daripada Meydan Group

 

 

Semalam, WCT Holdings menerusi anak syarikat milik penuhnya, WCT Bhd (WCTB) memaklumkan akan menerima pembayaran akhir berjumlah AED726.57 juta (RM828.25 juta) daripada Meydan Group LLC berikutan pertikaian kontrak gelanggang lumba kuda Nad Al Sheba Dubai.

 

Jumlah penyelesaian itu bersamaan 65% daripada jumlah pokok sebanyak RM1.31 bilion yang diberikan tribunal timbang tara Dubai kepada WCTB.

 

Bayaran pendahuluan sebanyak RM318.56 juta akan dibayar sebelum atau pada 20 Julai 2021, manakala baki RM509.69 juta lagi akan dilunaskan menerusi 12 ansuran suku tahunan sebanyak RM42.47 juta bermula 20 Oktober 2021.

 

MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' bagi saham WCT Holdings dengan harga sasaran 66 sen berbanding 57 sen sebelum itu.

 

Sementara itu, penganalisis CGS-CIMB, Sharizan Rosely berkata, pembayaran awal dan ansuran pertama dijangka mengurangkan gearan bersih 0.66x pada akhir Mac 2021 kepada 0.57x.

 

"Dengan menganggap keseluruhan jumlah bayaran itu digunakan untuk membayar semula pinjaman, kami anggarkan gearan bersih akan susut sehingga 0.47x dalam tempoh 3 tahun akan datang.

 

"Ini menunjukkan kesan bersih bagi pendapatan sesaham (EPS) untuk tahun kewangan 2022 dan 2023 adalah minimum dengan mengambil kira syarat pembayaran berperingkat dan baki penyelesaian sebanyak RM510 juta," katanya. 

 

Sharizan menyifatkan pembayaran itu juga tepat pada masanya dengan mengambil kira kekangan aliran tunai dan risiko terhadap pendapatan disebabkan PKP yang berterusan.

 

WCT Holdings akan menggunakan jumlah tunai yang diterimanya sebanyak RM361 juta (pada 20 Julai dan 20 Oktober) untuk pembayaran semula sukuk berjumlah RM200 juta dan baki RM161 juta untuk tujuan modal kerja.

 

Pada 2009, WCT Holdings mengumumkan kontrak WCTB dengan syarikat usaha sama (JV) Arabtec Construction LLC bagi pembinaan gelanggang lumba kuda Nad Al Sheba Dubai dibatalkan oleh Meydan atas alasan kelewatan menyiapkan bahagian kerja syarikat JV itu.

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan 'tambah' bagi saham WCT Holdings dengan harga sasaran 67 sen.

 

Setakat 10.08 pagi ini, saham WCT Holdings menokok 1.82% kepada 56 sen dengan 6.4 juta saham diniagakan. - DagangNews.com