Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 27 Okt. - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research positif terhadap pengambilalihan hartanah milik Venice Tulip Sdn Bhd oleh Axis Reit pada harga RM32 juta.
Firma penganalisis itu berkata, ia kerana pengambilalihan itu memberikan pertambahan hasil pendapatan hartanah bersih (NPI) sebanyak 9.6% berbanding NPI semasanya sebanyak 7.6%
"Dengan aset baharu itu, pendapatan tahun kewangan 2022 dan 2023 Axis REIT dijangka meningkat kira-kira 1%.
"Hartanah ini terletak berdekatan dengan Pelabuhan Johor, terminal minyak sawit terbesar dunia dengan kapasiti penyimpanan 460,000 tan metrik. Harga perolehan ditetapkan pada RM116 kaki per segi, yang sangat berpatutan untuk ruang industri di Pasir Gudang dan ia juga lebih rendah daripada nilai pasaran RM35 juta berdasarkan penilaian yang dibuat oleh syarikat penilai bebas," katanya dalam nota kajiannya di sini hari ini.
Axis REIT telah mencadangkan untuk memperoleh hartanah daripada Venice Tulip Sdn Bhd dengan harga RM32 juta.
Hartanah yang dikenalpasti itu terletak di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, Johor dan terdiri daripada 1 blok gudang satu tingkat dengan lantai mezanin (Blok 1) dan 3 blok gudang satu tingkat (Blok 2, 3 dan 4).
Menurut Axis REIT, cadangan pengambilalihan akan dibiayai oleh kemudahan hutang sedia ada dan dijangka selesai menjelang separuh pertama tahun hadapan.
"Kami mengekalkan ramalan kami sementara menunggu pemerolehan selesai," kata HLIB Research.
Firma penganalisis itu menambah, pihaknya turut mengekalkan panggilan 'Beli' ke atas saham Axis REIT dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM2.54.-DagangNews.com