Pengambilalihan perniagaan aiskrim The Inside Scoop diunjur menyumbang secara positif kepada Farm Fresh - TA Securities | DagangNews Skip to main content

Pengambilalihan perniagaan aiskrim The Inside Scoop diunjur menyumbang secara positif kepada Farm Fresh - TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Julai - Pengambilalihan The Inside Scoop diunjur menyumbang secara positif kepada pendapatan Farm Fresh Berhad bermula Jun 2023.

 

TA Securities berkata, pendapatan daripada perniagaan aiskrim premium sedia ada mereka dijangka berkembang sebanyak 15% setahun dengan rancangan pengembangan cawangan.

 

Katanya, perniagaan aiskrim itu kini mempunyai 41 cawangan di seluruh Malaysia dan menyasarkan untuk membuka 50 lagi cawangan menjelang akhir tahun ini.

 

Farm Fresh merancang untuk melancarkan produk aiskrim barangan bungkusan pengguna (CPG) baharu di bawah jenama Inside Scoop menjelang Januari 2024, memanfaatkan pengiktirafan jenama Inside Scoop yang kukuh dan rangkaian runcitnya sendiri.

 

"Secara keseluruhannya, kami positif terhadap pengambilalihan sinergi ini kerana ia menawarkan peluang pertumbuhan kepada kumpulan untuk menggabungkan bekalan bahan tenusunya (susu, krim dan lemak mentega) untuk pembuatan produk aiskrim.

 

"Bagaimanapun sumbangan daripada produk aiskrim CPG hanya bermula pada separuh kedua tahun kewangan 2024.  

 

"Kami menjangkakan perniagaan aiskrim itu akan menyumbang untung bersih antara RM9.1 juta hingga RM10 juta sebulan untuk FY24/FY25," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, persekitaran operasi Farm Fresh semakin normal berikutan kos tenaga dan logistik berkurangan selepas pandemik, malah margin pengeluar produk tenusu itu juga bertambah baik memandangkan kos input utama terutamanya susu tepung penuh (WMP) berkurangan.

 

Walaupun terdapat penurunan dalam pengeluaran susu Australia, firma itu berkata, impaknya dijangka minimum kepada kumpulan itu kerana kumpulan itu hanya memperoleh 14% susu segar daripada pihak ketiga.

 

"Struktur kos Farm Fresh masih dilihat meningkat berterusan dari suku kedua tahun kewangan 2024 dan selanjutnya disokong harga WMP yang sangat rendah.

 

"Harga purata WMP merosot kepada AS$3,100 satu tan sekarang berbanding kemuncak AS$4,800 satu tan pada separuh pertama 2022," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli dengan harga sasaran (TP) RM1.70 sesaham. - DagangNews.com