Pengambilan semula pekerja asing sektor tertentu bakal dikaji - KSM | DagangNews Skip to main content

Pengambilan semula pekerja asing sektor tertentu bakal dikaji - KSM

 

KUALA LUMPUR 12 April - Pengambilan semula pekerja asing dalam sektor-sektor tertentu yang sukar mengambil pekerja dalam kalangan rakyat Malaysia bakal dikaji. 

 

Ini susulan terdapat banyak permintaan daripada pihak majikan di sektor perladangan, pertanian, pembuatan dan pembangunan, menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

 

“Terdapat hampir 400,000 peluang pekerjaan masih tidak diisi dalam empat bidang ini,” katanya menurut laporan Bernama. 

 

Tambah Saravanan, kementeriannya sedang berbincang dengan semua pihak berkenaan sebelum mengambil sebarang keputusan.

 

Saravanan mengakui beliau risau dengan keadaan pihak majikan yang sukar untuk mendapatkan pekerja bagi sektor 3D iaitu kotor, sukar dan bahaya.

 

M Saravanan
M. Saravanan

 

Katanya, kerajaan masih menawarkan semua tawaran pekerjaan itu kepada rakyat Malaysia. 

 

Buat masa ini, kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing bagi semua sektor. 

 

Sebelum ini, media melaporkan pembekuan pengambilan pekerja asing masih lagi dilaksanakan bagi mengekang penularan COVID-19. 

 

Antara sektor yang agak terjejas dengan pelaksanaan itu adalah perladangan kelapa sawit negara yang bergantung kepada tenaga kerja asing terutamanya pekerja berkemahiran rendah dan berkos rendah.

 

Menurut data industri, sebanyak 75% pekerja dalam sektor minyak sawit merupakan buruh asing. - DagangNews.com