Penganalisis optimis terhadap prospek pendapatan TNB, permintaan tenaga dijangka meningkat | DagangNews Skip to main content

Penganalisis optimis terhadap prospek pendapatan TNB, permintaan tenaga dijangka meningkat

 Tenaga Nasional Berhad (TNB)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Penganalisis Kenanga Research, Teh Kian Yeong kekal optimis terhadap prospek pendapatan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pasca COVID-19.

 

Jelasnya, perkara itu dinilai kepada daya tahan pendapatan syarikat berkenaan yang dilihat kekal kukuh.

 

"Kami mengekalkan unjuran perolehan bagi tahun kewangan 2021 dan 2022 buat masa ini.

 

"Kami juga tetap optimis terhadap prospek pendapatan TNB pasca COVID-19 sebagaimana daya tahan pendapatannya yang kukuh," jelas beliau.

 

Dalam pengumuman prestasi syarikat separuh pertama tahun kewangan 2021 (1HFY21) semalam, TNB merekodkan perolehan sebanyak RM1.2 bilion pada suku kedua 2021.

 

Jumlah berkenaan sekali gus menjadikan perolehan 1HFY21 melonjak 51% tahun ke tahun kepada RM2.6 bilion

 

Baca: TNB sasar sifar bersih pelepasan karbon menjelang 2050 

 

Bagi tempoh separuh pertama 2021 itu, TNB menyaksikan peningkatan permintaan tenaga sebanyak 4.4% tahun ke tahun kepada 55,907.9 GWh.

 

Ia susulan peningkatan permintaan daripada industri sebanyak 11.2% yoy dan domestik sebanya 2% yoy sekali gus mengurangkan kelemahan permintaan komersial (-1% yoy).

 

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Research (HLInvest) memberitahu, pihaknya menjangkakan peningkatan permintaan tenaga TNB bagi tahun kewangan 2021 (FY21).

 

Jangkaan itu dinilai seiring dengan pemulihan aktiviti ekonomi negara yang mula pulih melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN).

 

"TNB juga akan terus meneroka peluang pernigaan baharu berkaitan tenaga boleh diperbaharui (RE) di rantau Asia Tenggara khususnya Singapura dan Vietnam.

 

"Perniagaan tersebut juga akan turut dikembangkan ke United Kingdom (UK) sebagai sebahagian daripada impian jangka panjang syarikat untuk mencapai sifar bersih pelepasan karbon menjelang 2050 nanti," jelas HLInvest.

 

HLInvest mengekalkan saranan 'beli' saham TNB dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM12.50. - DagangNews.com