Penganalisis positif terhadap projek berbilion ringgit Gamuda di Vietnam | DagangNews Skip to main content

Penganalisis positif terhadap projek berbilion ringgit Gamuda di Vietnam

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Julai - Penganalisis yakin mengenai pengambilalihan Gamuda Berhad ke atas tapak projek seluas 3.7 hektar di Ho Chi Minh City, Vietnam dengan harga RM1.47 bilion dan menyifatkannya sebagai langkah strategik yang akan meletakkan syarikat itu di landasan untuk pertumbuhan pendapatan.

 

Langkah pengambilalihan itu akan meletakkan kumpulan itu dalam pasaran hartanah dan pada masa sama mengukuhkan jejak Gamuda Land di negara itu.

 

Public Investment Bank berkata, dengan andaian margin sebelum cukai yang tinggi, ia menjangkakan pengambilalihan itu menyumbang kepada pendapatan Gamuda seawal tahun kewangan 2025 dan seterusnya, menambah 7% secara puratakepada kumpulan dalam tempoh pembangunan enam tahun.

 

RHB Investment percaya bahawa pengambilalihan itu akan meningkatkan kedudukan Gamuda di Vietnam kerana 90% daripada nilai pembangunan kasar di luar negara datang daripada projek di negara itu.

 

"Pengambilalihan itu memberi peluang kepada Gamuda Land untuk mengakses tapak utama yang telah dihadkan di bandar raya itu di tengah-tengah sekatan yang dikenakan untuk projek bertingkat dari 2021 hingga 2030," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research positif terhadap pengambilalihan itu kerana Gamuda menggunakan dana untuk jangka panjang dan prospek pasaran hartanah kelihatan cerah semasa kemelesetan kitaran.

 

HLIB dan RHB Investment mengekalkan penarafan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM4.92 dan RM5.27 sesaham.

 

Sementara itu, Public Investment mengesahkan penarafan 'outperform'  dengan TP RM5.10 sesaham.- DagangNews.com