SHAH ALAM 11 Dis - Penganjuran acara sukan merupakan satu kaedah berkesan dalam memupuk silaturahim dan ukhuwah jemaah sesebuah surau atau masjid.
Pengerusi Surau Platinum al-Mawaddah di Seksyen 7 Shah Alam, Ustaz Muhammad bin Yusoff berkata, pengukuhan silaturahim antara umat Islam adalah amat penting dan sangat digalakkan oleh Islam.
Beliau berkata, ia bukan sahaja memenuhi matlamat solat berjemaah di surau atau masjid tetapi ia juga perlu diterjemahkan dan diamalkan dalam pergaulan harian di luar surau dan masjid.
Satu daripada acara yang boleh diadakan kata beliau, adalah acara sukan yang sesuai dengan tema kekeluargaan atau persetujuan jemaah yang mahu turut serta.
"Acara sukan ini boleh berlangsung dalam suasana semangat kesukanan dan paling penting, memupuk persahabatan dan silaturahim yang kukuh sesama jemaah," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian kejohanan bowling dan panjat tembok anjuran Surau Platinum al-Mawadah di sebuah pusat beli-belah pada 8 Disember 2023.
Ustaz Muhammad berkata, sebelum ini surau pernah menganjurkan acara mini-marathon pada 2019 dan futsal yang mendapat sambutan daripada bukan sahaja kariah tetapi juga orang ramai.
"Kali ini, acara bowling dan panjat tembok untuk anak-anak ini adalah acara sukan tahunan surau yang sentiasa dinanti-nantikan.
"Saya lihat semua peserta yang terdiri daripada kariah surau, beraksi dan bertarung dengan tekun dan penuh kemesraan sesama peserta. Ini yang kita mahukan," kata beliau.
Acara ini ditaja oleh banyak pihak, termasuk portal berita ekonomi berbahasa Melayu, DagangNews.com yang juga merupakan ahli kariah Surau Platinum Al-Mawaddah. - DagangNews.com