KUALA LUMPUR 10 Nov. - Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang dapat mencakupi golongan memerlukan dengan lebih meluas serta ditambah baik dibuat dengan mengambil kira cabaran ekonomi semasa.
Ini terutamanya melibatkan insentif BPR untuk golongan bujang di mana had umur diturunkan kepada 21 tahun berbanding 40 tahun sebelum ini.
BPR dengan peruntukan RM6.5 bilion akan memanfaatkan 8.1 juta orang berbanding Bantuan Sara Hidup (BSH) dengan peruntukan RM5 bilion dan memanfaatkan 4.3 juta rakyat Malaysia.
Bagi memastikan semua golongan yang layak akan menerima bantuan itu, Pengarah Belanjawan Negara, Johan Mahmood Merican berkata, pendaftaran baharu BPR bakal dibuka sebelum hujung Januari 2021.
Katanya, pendaftaran baharu itu memberi peluang kepada mereka yang layak tetapi belum mendaftar untuk memohon BPR.
"Kerajaan pada masa ini berpendapat adalah wajar kita kembali kepada keadaan sebelum ini semasa pelaksanaan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) di mana ia dibuka untuk semua bujang 21 tahun ke atas.
“Memandangkan kategori penerima diperluaskan, bagi mereka yang sudah ada dalam pangkalan data akan diteruskan.
“Bagi tahun 2020 ia dibuat dalam tiga kali ansuran manakala untuk tahun depan ia dibuat sebanyak dua kali dan akan dibayar sebelum Hari Raya,” kata beliau dalam satu sidang akhbar.
Pada Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan BSH diganti kepada BPR yang diperluas dan ditambah baik.
Jelas Johan, antara penambahbaikan ketara yang dibuat menerusi BPR adalah kategori umur penerima bujang diturunkan kepada 21 tahun dan ke atas serta purata pendapatan yang dinaikkan daripada RM2,000 kepada RM2,500.
Baca : BELANJAWAN 2021: Bujang atas 21 tahun terima RM350 bawah BPR
Walaupun banyak insentif diberikan kepada golongan B40 di bawah Belanjawan 2021, namun Johan berkata, ini tidak bermaksud kerajaan mengabaikan nasib golongan M40.
"Selain daripada pengumuman cukai dikurangkan satu mata peratusan bagi individu yang berpendapatan bercukai dengan julat RM50,001 hingga RM70,000, beberapa lagi dari segi pelepasan cukai telah diumumkan untuk membantu M40 dari segi potongan cukai gaya hidup yang dinaikkan daripada RM2,500 kepada sehingga RM3,000,” katanya.
Selain menumpukan ke arah penambahbaikan bantuan kewangan, Belanjawan 2021 turut melonjak keupayaan Kementerian Kesihatan untuk memerangi penularan COVID-19 yang kian meningkat ketika ini.
Bercakap dalam program “Mid-Day Update” oleh Bernama TV, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr. Rohaizat Yon berkata, hanya RM457 juta daripada keseluruhan peruntukan RM31.94 bilion digunakan untuk bekalan reagen dan bahan guna habis khusus yang diperlukan.
Manakala, RM318 juta pula digunakan untuk penyediaan peralatan perlindungan peribadi dan pensanitasi tangan untuk kakitangan barisan hadapan.
Rohaizat berkata, keseluruhan peruntukan yang diterima itu bakal diagihkan kepada tujuh program sedia ada di bawah Kementerian Kesihatan.
Ini termasuk program pengurusan, perubatan, kesihatan awam, kesihatan oral, farmaseutikal, penyelidikan dan sokongan teknikal selain daripada keselamatan makanan dan kualiti, katanya menurut laporan Bernama. - DagangNews.com