Pengecualian bayaran fi lesen pengusaha dan pemandu pelancong dilanjutkan | DagangNews Skip to main content

Pengecualian bayaran fi lesen pengusaha dan pemandu pelancong dilanjutkan

Sektor pelancongan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 21 Jun - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melanjutkan pengecualian fi pembaharuan lesen dan lesen-lesen tambahan bagi pengusaha dan pemandu sektor pelancongan yang memohon pembaharuan lesen bermula 1 Julai sehingga 31 Disember 2021.

 

MOTAC dalam satu kenyataan berkata, inisiatif berkenaan dibuat sebagai tanda keprihatinan pihaknya terhadap cabaran besar dan berterusan yang masih dihadapi penggiat industri pelancongan akibat pandemik COVID-19.

 

Selain inisiatif tersebut, MOTAC turut memberi pengecualian fi pembaharuan lesen dan lesen-lesen tambahan bagi kumpulan sama yang belum mendapat kelulusan pembaharuan lesen disebabkan oleh PKP.

 

Bagi inisiatif ketiga, MOTAC memberitahu, pihaknya turut memberi pengeluaran lesen syarikat pengendali pelancongan tanpa pemeriksaan premis dalam tempoh PKP, PKPB dan PKPD.

 

"Bagaimanapun, pemeriksaaan premis akan dilaksanakan dalam tempoh 90 hari setelah lesen syarikat dicetak dan dikeluarkan oleh MOTAC negeri.

 

Tanggungjawab melesenkan pengusaha pelancongan adalah antara bidang kuasa MOTAC di bawah Seksyen 5 dan Pemandu Pelancong di bawah Seksyen 21.

 

Mengulas lanjut, MOTAC turut berharap inisiatif berkenaan dapat membantu meringankan beban penggiat industri yang terkesan dengan penularan wabak COVID-19.

 

"Namun, pihak kementerian menegaskan bahawa kegagalan untuk menjelaskan kompaun yang dikeluarkan boleh menyebabkan tindakan pendakwaan diambil kepada syarikat atau pemandu pelancong yang berkaitan," jelas MOTAC lagi. - DagangNews.com