Pengecualian visa kepada China, India diunjur tingkatkan jumlah kehadiran pelancong kesihatan ke Malaysia, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Pengecualian visa kepada China, India diunjur tingkatkan jumlah kehadiran pelancong kesihatan ke Malaysia, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Dis - Keputusan kerajaan memberikan pengecualian visa kepada pelancong China dan India diunjur meningkatkan jumlah kehadiran pelancong kesihatan ke Malaysia.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, kedua-dua negara itu adalah sebahagian daripada penyumbang utama kepada segmen itu selain Indonesia.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan hasil pelancongan kesihatan melepasi julat antara 4% hingga 6% daripada jumlah hasil pelancongan Malaysia didorong penawaran harga menarik, lokasi strategik dan kualiti perkhidmatan.

 

"Pertambahan jumlah pesakit ini juga disokong peningkatan kadar penembusan insurans di Malaysia.

 

"Cadangan peruntukan RM200 juta menerusi Belanjawan 2024 bagi merujuk pesakit daripada hospital awam ke hospital swasta memberi kesan positif kepada pertumbuhan dalam sektor penjagaan kesihatan swasta," katanya dalam satu nota kajian.

 

Maybank IB menjangkakan, kadar penghunian katil (BOR) KPJ Healthcare Berhad dan IHH Healthcare Berhad meningkat antara 70% hingga 80% selain jumlah pesakit dalaman mereka melepasi jumlah gabungan 1 juta pada 2024 bagi menyamai paras sebelum pra pandemik.

 

Katanya, pertumbuhan BOR kedua-dua pengendali itu dijadualkan meningkat dua kali ganda daripada 5% dari tahun ke tahun pada FY21 hingga FY22 kepada 8% hingga 10% pada FY23-FY23.

 

"Kos optimum kekal sebagai komponen utama kepada pertumbuhan bagi meneruskan rancangan pengembangan," katanya.

 

Bagi penjagaan kesihatan mata, mereka menjangkakan pertumbuhan sekitar 4% hingga 5% daripada jumlah hasil pembedahan untuk Optimax pada 2024, disokong hari penggunaan ruang bedah (OT) yang lebih tinggi, teknologi baharu untuk pembedahan selain peningkatan permintaan pembedahan plastik/estetik. 

 

"Peningkatan pendapatan Optimax bergantung kepada normalisasi kos pra-operasi dan kakitangannya yang tinggi pada masa ini sebelum pengembangan satu klinik satelit yang dirancang pada suku keempat tahun ini dan empat pusat jagaan ambulatori (ACC) pada FY24," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan positif terhadap sektor itu.- DagangNews.com