Pengeluaran getah asli Malaysia susut 6.3% pada Mei 2022 | DagangNews Skip to main content

Pengeluaran getah asli Malaysia susut 6.3% pada Mei 2022

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Julai - Pengeluaran getah asli Malaysia susut 6.3% kepada 21,073 tan pada Mei 2022 berbanding 22,498 tan pada April 2022.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, perbandingan tahun ke tahun turut menunjukkan penurunan 25.2% berbanding 28,164 tan yang direkodkan pada Mei 2021.

 

Beliau berkata, pengeluaran getah asli Malaysia pada Mei 2022 disumbangkan terutama oleh sektor pekebun kecil sebanyak 83.3% manakala sektor estet sebanyak 16.7%.

 

“Jumlah stok getah asli pada Mei 2022 turun 2.8% kepada 289,430 tan berbanding 297,654 tan pada April 2022.

 

“Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 92.7% diikuti kilang pengguna getah sebanyak 7.2% dan estet getah pada 0.1%,” katanya dalam kenyataan bagi mengulas Perangkaan Getah Bulanan Malaysia Mei 2022 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan, hari ini.

 

Mohd. Uzir berkata, eksport getah asli Malaysia berjumlah 43,197 tan pada Mei 2022 susut 26.3% berbanding dengan 58,596 tan yang dicatatkan pada April 2022.

 

getah

 

China kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli dengan jumlah 44.6% daripada jumlah keseluruhan eksport pada Mei 2022 diikuti Amerika Syarikat (12.4%), Turki (4.5%), Brazil (4.4%) dan Finland (3.7%).

 

Katanya, prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.

 

Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai RM1.6 bilion pada Mei 2022, turun 30% berbanding RM2.2 bilion pada April 2022.

 

Beliau berkata sentimen pasaran getah dunia disokong oleh unjuran bekalan getah asli yang lebih terhad, rangsangan ekonomi di China dan keyakinan terhadap perdagangan Amerika Syarikat-China.

 

“Selanjutnya didorong oleh kebimbangan inflasi, ketidaktentuan yang semakin meningkat mengenai kelembapan ekonomi global daripada dasar sifar COVID-19 di China, dan konflik berpanjangan Rusia-Ukraine seperti dilaporkan dalam Malaysian Rubber Board Digest yang diterbitkan pada Mei 2022,” katanya.

 

Analisis perbandingan harga purata bulanan pula menunjukkan lateks pekat merekodkan peningkatan iaitu 0.6% kepada 670.69 sen sekilogram pada Mei 2022, daripada 666.47 sen sekilogram pada April 2022, katanya.

 

Beliau berkata, jenis sekerap juga turun 3.5% kepada 565.84 sen sekilogram daripada 586.65 sen sekilogram bagi tempoh yang sama.

 

Katanya,  pergerakan harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) pula adalah dalam keadaan bercampur-campur iaitu turun 2.2 hingga 2.3% serta meningkat 0.6%.

 

Data Harga Komoditi Bank Dunia melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Getah Perincian Teknikal) dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) masing-masing susut 5.0% daripada US$1.70 sekilogram (RM7.56) kepada US$1.62 sekilogram (RM7.21), dan 1.7% daripada US$2.09 sekilogram (RM9.30) kepada US$2.06 (RM9.17) sekilogram. - DagangNews.com